Dua sahabat dicekup edar dadah

Mohamed Mokhsein (tengah)menunjukkan rampasan dadah pada sidang media di IPD Cheras hari ini.
Mohamed Mokhsein (tengah)menunjukkan rampasan dadah pada sidang media di IPD Cheras hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis memberkas dua rakan rapat kerana disyaki mengedar dadah di tepi jalan di Kampung Kampung Baru Salak Selatan di sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, dua lelaki berusia 18 tahun dan 28 tahun itu ditahan pada jam 4.30 petang.

"Dalam kejadian itu, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Salak Selatan Baru mendapati dua lelaki tersebut sedang membuka but sebuah kereta Perodua Kembara dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan awal, kita menemukan sejumlah 43 peket dadah disyaki ketamin seberat 19.6 kilogram di dalam but kenderaan itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, jumlah rampasan dadah bernilai RM1.1 juta itu mampu dibekalkan kepada 40,000 penagih.

"Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mendapatkan maklumat punca bekalan dan penglibatan pengedaran yang dijalankan," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian awal urin ke atas dua suspek mendapati salah seorang daripadanya positif dadah.

"Kedua-dua suspek juga mempunyai dua rekod jenayah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Mokhsein berkata, pihaknya telah mengenalpasti pemilik kenderaan itu.

"Kita juga sedang mengesan pemilik kenderaan itu bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek itu ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 7 Oktober ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam kes berasingan, Mohamed Mokhsein memaklumkan pihaknya menahan seorang lelaki yang disyaki mengedar dadah di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) pada jam 11.40 pagi, pada hari yang sama.

"Kita menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang sedang memandu sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

"Hasil pemeriksaan, kita menemui 65 peket dadah methamphetamine, 10 biji erimin 5 dan satu peket kanabis," katanya.

Menurutnya, kesemua dadah yang dirampas bernilai RM5,650 dan mampu dibekalkan kepada 250 penagih.

"Lelaki itu juga ditahan reman seminggu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B, 12 (2)/(3),6 dan 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!