MIC tangguh semua konvensyen negeri
TAPAH - Semua Konvensyen MIC negeri yang dijadual bermula hari ini sehingga 8 Oktober ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan.
Timbalan Presiden MIC, Datuk M Saravanan berkata, keputusan tersebut dibuat mengambil kira keadaan semasa penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, antara MIC negeri yang dijadual mengadakan konvensyen hari ini adalah Perak, Kedah dan Perlis.
"Seperti UMNO, MIC juga tangguh kesemua mesyuarat. Presiden MIC sudah pun mengeluarkan arahan supaya semua mesyuarat di peringkat Pusat dan negeri ditangguhkan.
"Penangguhan semua mesyuarat itu sehingga ke satu tarikh yang akan kita maklumkan kemudian," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Program Penjana Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) B40 Kursus Asas Jahitan Pengenalan dan Kursus Penggunaan Mesin Jahit Tepi di Dewan Merdeka Tapah di sini hari ini.
Semalam, UMNO dalam satu kenyataan memaklumkan semua mesyuarat dan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda, Puteri dan Bahagian UMNO ditangguhkan serta-merta berikutan kes jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu dibuat atas arahan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
ARTIKEL BERKAITAN: Semua mesyuarat dan persidangan UMNO ditangguh serta-merta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!