PKR saman Zuraida RM10 juta
SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) memfailkan saman RM10 juta terhadap bekas Naib Presiden parti itu, Zuraida Kamaruddin kerana lompat parti.
Bendahari PKR, Lee Chean Chung berkata, saman tersebut difailkan pada 28 September lalu, setelah PKR gagal mendapat sebarang jawapan terhadap surat tuntutan terhadap Zuraida pada 7 Ogos.
"Peguamcara parti telah berusaha menyampaikan surat-surat tujuan kepada Zuraida pada 30 September dan 1 Oktober lalu tetapi tidak dapat melakukannya.
"Peguamcara parti juga telah menulis surat pada 1 Oktober lalu kepadanya untuk melantik firma peguam cara untuk menerima perkhidmatan bagi pihaknya.
"Selain Zuraida, PKR juga akan menuntut pembayaran di bawah Bon oleh 20 ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menang atas tiket parti tetapi mengundurkan diri untuk bergabung dengan parti politik lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zuraida bersama 11 ahli Parlimen lain didakwa meninggalkan PKR pada Februari lalu untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO-BN dan GRS bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Tindakan Zuraida dan sekutunya itu dipercayai telah diikuti beberapa ADUN lain.
Kesemua ahli Parlimen PKR menandatangani perjanjian sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan bersetuju dengan syarat bahawa mereka akan dikenakan denda RM10 juta sekiranya melompat parti.
Chean Chung menjelaskan, dengan menandatangani perjanjian itu, Zuraida mengakui bahawa penggunaan logo dan simbol PKR bernilai RM10 juta, berdasarkan kos yang dikeluarkan oleh parti untuk mempromosikan logo tersebut.
"Zuraida telah bersetuju membayar sejumlah RM10 juta kepada Parti sekiranya dia mengundurkan diri daripada parti atau menyertai parti politik lain atau sebagai wakil Bebas," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Zuraida tak bimbang surat tuntutan RM10 juta PKR
12 bekas wakil rakyat PKR bakal disaman RM10 juta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!