SPR kaji rakyat Malaysia di negara jiran boleh undi pos

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia yang tinggal di negara jiran yang bersempadan, seperti Singapura dan Selatan Thailand, mungkin nanti akan dapat dimasukkan dalam senarai mereka yang boleh mengundi sebagai pengundi pos pada pilihan raya akan datang.

"Perkara itu sedang dikaji dengan serius,” kata Zoe Randhawa, anggota lembaga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau memberitahu, perkara itu merupakan salah satu isu yang sedang diberi perhatian oleh SPR untuk dilaksanakan sebagai salah satu usaha penambahbaikan, terutama semasa seluruh dunia berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19.

Walaupun rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara layak untuk mengundi sejak 2013, namun kemudahan itu tidak dinikmati bagi mereka yang tinggal di Kalimantan, Brunei, serta Selatan Thailand, kerana mereka dikatakan boleh menyeberang sempadan dengan mudah untuk mengundi.

Bagaimanapun akibat penularan Covid-19, banyak pintu sempadan ditutup, sekali gus menyukarkan mereka untuk kembali ke tanah air.

Contohnya di Singapura sahaja terdapat hampir 500,000 rakyat Malaysia berada di sana.

Bagi Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, SPR menerima 7,979 permohonan sebagai undi pos, dan 3,653 permohonan pengundi tidak hadir.

Randhawa berkata, satu lagi penambahbaikan yang sedang diusahakan oleh SPR ialah langkah bagi meringkaskan serta memudahkan proses pendaftaran undi pos, dan menurutnya perkara itu sedang di peringkat ujian ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun beliau tidak dapat mengesahkan sekiranya sistem baharu itu boleh dilaksanakan pada PRU-15, sekiranya pilihan raya itu diadakan tahun depan.

“Kita perlu menguji dahulu sistem ini, dan memastikan bahawa ia boleh dilaksanakan dengan baik walaupun menghadapi cabaran dalam aspek jumlah permohonan yang tinggi dan kerja-kerja pemprosesan yang banyak,” katanya.

Beliau berkata SPR juga sedar dengan kesulitan yang ditimbulkan oleh Covid-19, dan sedang mengkaji cara untuk meningkatkan tempoh waktu mengundi, tempat mengundi serta jumlah petugas, bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!