' Jangan ingat guru tiada tugas'
SHAH ALAM - Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga sekolah mula dibuka, tugas guru dilihat semakin mencabar bagi memastikan semua pelajar selamat dan tidak ketinggalan dalam pembelajaran.
Guru Subjek Biologi dan Sains Sekolah Menengah Kebangsaan (L) Methodist, Sentul, Stephen Issac berkata, sejak awal sebaik sahaja kerajaan mengumumkan bahawa sesi persekolahan bermula, guru-guru terlebih dahulu melakukan persediaan awal dengan membuat penanda bagi laluan pelajar, jarak antara meja dan susunan bilik darjah.
"Kita (guru-guru) sentiasa ada kerja. Seimbas lalu orang nampak cikgu tiada kerja tetapi hakikatnya apabila duduk di kerusi seorang guru, barulah kita tahu cabaran sebenar.
"Bayangkan kelas yang mempunyai seramai 35 hingga 40 orang pelajar, mereka mungkin perlu dipecahkan kepada dua kelas. Mungkin ada yang kekurangan kelas dan terpaksa menggunakan bilik-bilik khas," katanya.
Menurutnya, tugas guru semakin mencabar apabila perlu memastikan pelajar tidak leka dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Apabila guru tinggalkan kelas sementara, pelajar sudah ada yang berjalan ke meja-meja rakan. Kita perlu pastikan ia tidak berlaku," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!