Hentikan 'kegilaan' Anwar mahu jadi PM

Nor Hizwan (kiri) pada sidang akhbar disiarkan secara langsung di laman Facebook Friends Of Zuraida Kamaruddin hari ini.
Nor Hizwan (kiri) pada sidang akhbar disiarkan secara langsung di laman Facebook Friends Of Zuraida Kamaruddin hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Penggerak Komuniti Negara mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan menghentikan 'kegilaan' Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) itu, Nor Hizwan Ahmad berkata, ia susulan kenyataan Anwar sebelum ini yang mendakwa memperoleh majoriti mencukupi untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, Ahli Parlimen Port Dickson itu dilihat seperti mendahului Yang di-Pertuan Agong dengan membuat pengumuman itu, malah ia bertentangan dengan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 43 (4) memperuntukkan bahawa apabila Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Agong.

“Anwar sebelum ini menyatakan kerajaan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) telah jatuh. Siapa Anwar yang sewenang-wenang mengumumkan kerajaan Malaysia telah jatuh?

“Perhimpunan hari ini adalah untuk membuat laporan polis agar tindakan dapat dilakukan bagi menghentikan 'kegilaan' itu.

“Ia tidak boleh biarkan lagi supaya kita sama-sama dapat teruskan kehidupan, bangunkan negara serta keluar daripada pandemik koronavirus (Covid-19),” katanya secara langsung di laman Facebook Friends Of Zuraida Kamaruddin hari ini.

Nor Hizwan yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin turut memaklumkan sebanyak 46 laporan polis dibuat di seluruh negara supaya tindakan diambil ke atas Anwar.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, katanya, tindakan Anwar itu secara tidak langsung menimbulkan ketidakstabilan ekonomi dan mengganggu keamanan negara.

Katanya, perbuatan itu menggugat keadaan ekonomi negara yang kini berada dalam fasa pemulihan akibat koronavirus (Covid-19), malah sejurus selepas sidang akhbar Anwar pada 23 September, pasaran saham Malaysia merudum.

“Ini suatu bentuk tindakan ganas terhadap keamanan dan ekonomi negara. Maka, tindakan sewajarnya perlu dilakukn segera oleh pihak berkuasa. Jika dibiarkan entah berapa kali pengumuman September akan dibuat lagi,” katanya.

Dalam masa sama, Hizwan turut menyarankan supaya Anwar bersara daripada politik kerana era kepimpinannya telah berakhir dan tidak lagi sesuai untuk mengetuai negara.

“Beliau harus terima kenyataan bahawa zamannya telah berlalu. Beliau memimpin Malaysia di masa silam dan tidak lagi sesuai untuk masa depan negara.

“Saya juga menyeru beliau untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan dalam membangunkan negara pada masa-masa sukar ini,” katanya.

Pada 23 September lepas, Anwar mendakwa mendapat sokongan ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu namun kenyataan itu dinafikan pemimpin PN.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!