UTM tangguh pendaftaran pelajar

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil langkah menangguhkan pendaftaran pelajar baharu dan pendaftaran semula pelajar kanannya bagi semester 1 2020/2021.

UTM menerusi Pejabat Hal Ehwal Korporatnya dalam satu kenyataan memberitahu, penangguhan tersebut merupakan susulan kenyataan media Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dikeluarkan hari ini.

Sehubungan itu, pihak pengurusan UTM memutuskan untuk menangguhkan sementara kehadiran semua pelajar secara fizikal ke kampus UTM Johor Bahru dan Kuala Lumpur sehingga pengumuman seterusnya dikeluarkan.

"Pelajar-pelajar berkenaan dijadualkan mendaftar ke kampus bermula 10 hingga 11 Oktober 2020.

"Pihak UTM amat prihatin dengan situasi semasa dan memandang serius peningkatan kes positif koronavirus (Covid-19) di serata Malaysia.

"Oleh itu, semua pelajar baharu dan pelajar kanan tidak perlu hadir ke kampus bagi sesi pendaftaran dan pembelajaran," jelas kenyataan tersebut yang dikeluarkan di sini hari ini.

Jelas kenyataan itu lagi, pelajar berkenaan hanya perlu mendaftar dan mengikuti kursus secara dalam talian sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan berdasarkan perkembangan terkini Covid-19 dari masa ke masa.

Menurut kenyataan itu, bagi pelajar baharu pula, Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) akan dijalankan secara dalam talian.

Artikel Berkaitan:

"Untuk itu, universiti telah menyediakan peruntukan khas yang akan digunakan untuk membantu pelajar B40 yang memerlukan bantuan internet bagi sesi pembelajaran Semester 1 2020/2021.

"Bagi pelajar yang telah hadir dan telah berada dalam kawasan kampus akan dibantu untuk penempatan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," kata kenyataan itu lagi.

Maklumat lanjut dan terkini berkenaan sebarang perkara berhubung Semester 1 2020/2021 akan dimuat naik dari masa ke masa melalui https://www.utm.my/faq-pp-sem-1-2020-2021.

Pelajar juga boleh menghubungi talian hotline +6011 1868 7022 (8.30 pagi-4.30 petang, Ahad-Rabu; 8.30 pagi-3.00 petang, Khamis).

Pihak universiti berharap semua pelajar sentiasa peka terhadap sebarang pemakluman terkini dan mematuhi arahan ditetapkan dalam menangani pandemik Covid-19.

Pihak UTM juga sentiasa bersedia dan akan mengambil langkah yang terbaik bagi memastikan keperluan pelajar-pelajar ini diutamakan dalam menangani situasi pandemik Covid-19.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!