Keputusan saat akhir susahkan pelajar IPT
SHAH ALAM - Keputusan mengejut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menangguhkan kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah koronavirus (Covid-19) di semua institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara menimbulkan kemarahan ramai semalam.
Susulan itu, kekecohan turut trending di laman sosial dengan masing-masing meluahkan perasaan tidak puas hati dengan keputusan singkat yang diambil kementerian tersebut.
Ini kerana ada antara mereka yang telah membuat persediaan awal termasuklah menyewa rumah penginapan, tempahan tiket penerbangan malah ibu bapa juga telah mengambil cuti untuk menghantar anak masing-masing ke IPT.
Menurut seorang pengguna Twitter dikenali Fara, dia secara asasnya menganggap keputusan yang diambil KPT itu tepat namun ia tidak sepatutnya diumumkan pada saat-saat akhir.
“Secara jujurnya saya fikir ia merupakan keputusan baik untuk tidak membenarkan pelajar balik ke universiti sekarang.
“Tetapi jangan umum saat akhir! Pelajar sudah tempah tiket penerbangan, sudah beli tiket bas, dah bayar deposit rumah sewa baru nak umum. Oh sayang, kamu mengecewakan kami lagi,” ciapnya di Twitternya semalam.
Seorang lagi pengguna Twitter dikenali Nana berkata, dia bertuah kerana universiti tempatnya belajar begitu hampir dengan kediamannya.
“Saya bertuah kerana dapat kolej dan universiti yang hanya 20 minit dari rumah tapi kasihan dengan pelajar lain yang telah kehilangan duit sewa rumah dan tiket penerbangan lagi,” ciapnya.
Seorang lagi pengguna Twitter dikenali sebagai Ajie berkata, kebanyakan rakan sekerjanya telah mengambil cuti bagi menghantar anak-anak mereka ke IPT.
“Semua rakan sekerja saya telah mempertimbangkan cuti mereka sebab hendak hantar anak-anak masuk universiti. Menteri tidak pernah kisah mengenainya,” ciap beliau.
Sementara itu, seorang pengguna Twitter dikenali sebagai Puteri N Balqis membuat ciapan dengan tanda pagar untuk membantu pelajar yang terkandas.
“Satu jalur bagi rakyat Malaysia yang baik hati untuk menolong pelajar yang terkandas,” ciapnya.
Ciapannya itu kemudian dibalas oleh seorang pengguna Twitter dikenali Rashifa.
“Kepada mana-mana pelajar Universiti Malaya (UM) yang memerlukan bayaran untuk penginapan atau pengangkutan untuk balik ke rumah mesej terus kepada saya! Saya tidak perlukan duit untuk penginapan, jadi Alhamdulillah. Saya ada duit lebih daripada PTPTN. Saya akan cuba bantu,” ciapnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!