Antara 'move on' dan 'move off'
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 sudah seminggu melabuhkan tirai. Diharap keputusan PRN itu akan segera menamatkan permasalahan politik dan mampu membentuk kerajaan yang stabil seperti dimahukan oleh semua orang Sabah.
Malangnya, kisah PRN Sabah tidak berhenti setakat itu sahaja. Daripada tragedi bertanding sesama sendiri, kerumitan memilih Ketua Menteri, drama pertukaran portfolio sehinggalah kepada ‘kecil hati’ UMNO-Barisan Nasional (BN) terhadap Perikatan Nasional (PN) terutama Bersatu, nampaknya masih belum ada tanda-tanda untuk 'move on'.
Konflik antara UMNO-BN dan Bersatu yang membibit lama sebelum PRN Sabah bermula dilihat semakin menghampiri tahap krisis.
Dinamika hubungan politik UMNO-Bersatu memperlihatkan bagaimana UMNO masih tidak boleh berintegrasi dan keluar daripada kerangka lama sebagai ‘abang besar’ ketika dalam BN.
Walaupun sudah tidak bersama PN, UMNO-BN masih terpaksa menerima mereka sebagai rakan sokongan disebabkan tiada pilihan.
Dalam konteks Sabah, BN terpaksa membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bukan sahaja bagi menghadapi Warisan Plus tetapi bagi membentuk kerajaan selepasnya kerana tiada pilihan lain.
Untuk rekod, BN bertanding di 41 kerusi, hanya menang 14 berbanding PN menerusi pakatan Bersatu dan Parti Solidariti Tanah Air (STAR) menang 17 daripada 27 kerusi bertanding.
Dengan margin kerusi yang tipis begitu, memang sukar untuk mana-mana parti bertindak sendirian tanpa berunding, apatah lagi apabila kemenangan yang dicapai hanya dengan majoriti mudah. Apa-apa sahaja boleh berlaku jika mana-mana pihak tidak mampu mencapai keputusan yang konklusif.
Konfrontasi terbuka pula sudah tentu merenggangkan lagi kerjasama yang wujud dan bimbang akan menggagalkan sebarang usaha untuk mengintegrasikan parti dan seterusnya mewujudkan kerjasama bentuk baharu pada pilihan raya seterusnya.
Pengajaran terbesar pada PRN Sabah menunjukkan betapa GRS yang diwujudkan bukan sahaja longgar dan bermasalah, malah tidak berfungsi sebagai satu unit politik yang sepatutnya. Mujur dalam keadaan sebegitu, GRS masih mampu menang.
Ketika ini, tiada tanda-tanda wujud satu formula kompromi yang jelas dalam kerjasama PN dan UMNO-BN. Apa yang ada hanyalah satu persefahaman tentang adanya musuh bersama.
Hal itu sangat berbahaya dalam politik kerana dalam politik tiada istilah musuh yang kekal selamanya.
Keperluan kepada mana-mana parti untuk mengekalkan status quo masing-masing banyak bergantung kepada sejauh mana keseimbangan kepentingan yang terhasil daripada kerjasama itu dan sudah tentu, ancaman apa sebenarnya yang diwujudkan oleh musuh bersama itu tadi.
Lebih malang, persepsi tentang ancaman yang wujud tidak lagi dilihat datang daripada pihak lawan tetapi kawan.
Perkara itu menjadi lebih buruk jika tiada usaha untuk menepis prasangka rakan terhadapnya yang akhirnya akan menjejaskan kepentingan dan status quo masing-masing sebagai sebuah pakatan.
Apatah lagi, kalau ia dilihat semakin mengikis kekuatan, pengaruh, peranan dan pengorbanan UMNO sebagai sebuah parti yang besar dan dominan dalam kerjasama politik PN-BN.
Sukar untuk menyatakan apakah UMNO-BN boleh kekal bekerjasama dengan Bersatu. Setakat ini, UMNO dilihat terbahagi kepada dua, kem yang mahu UMNO move on dan meninggalkan Bersatu dan kem yang masih mahu kekal bekerjasama dengan Bersatu.
Pada masa yang sama, Bersatu juga masih belum bertindak untuk meredakan keadaan terutama selepas UMNO kecil hati dan rasa terpencil setelah apa yang berlaku di Sabah.
Setakat ini hanya Naib Presidennya, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang mendesak supaya sesuatu dilakukan dengan segera untuk menyelesaikan permasalahan tersebut.
Yang menarik untuk diperhatikan selepas ini sudah tentulah, apakah UMNO akan 'move on' atau 'move off' dengan perkembangan yang sedang dihadapinya?
*Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan Kampus Seremban
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!