Inisiatif keusahawanan PNS
SHAH ALAM - Kerajaan menyasarkan untuk menjadikan bidang keusahawanan sebagai pekerjaan alternatif kepada golongan bumiputera, khususnya golongan muda menjelang 2030.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya menetapkan sasaran tersebut kerana tidak ramai dalam kalangan masyarakat bumiputera yang terlibat dalam ekonomi.
Menurutnya, itu adalah antara sebab kerajaan merangka untuk mempertingkatkan atau memperkasakan bidang keusahawanan supaya golongan berkenaan dapat memanfaatkannya bagi menyara hidup mereka.
“Kami turut melihat bidang keusahawanan mampu memberi peluang pekerjaan yang lebih baik kepada kira-kira 300,000 graduan universiti yang tamat pengajian pada setiap tahun, selain dapat mengurangkan kebergantungan mereka untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor kerajaan dan swasta.
“Jadi, kerajaan telah merancang pada tahun lalu untuk mewujudkan dasar keusahawanan negara yang bakal dicapai pada tahun 2030, malah ia juga masa yang ditetapkan oleh United Nation (UN) untuk kita menghapuskan kemiskinan dan pelbagai lagi untuk menjadi negara membangun,” katanya pada program Sinar Live Khas Webinar Bizfrancais: Francais Penjana Ekonomi Negara di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu lalu.
Beliau berkata, selain itu ia juga menjadi teras kepada kementerian untuk memajukan usahawan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar mereka tidak ketinggalan apabila Malaysia menjadi negara membangun kelak.
Menurutnya, bagi memajukan bidang keusahawanan di Malaysia, kementerian melihat sistem perniagaan francais berpotensi memacu perkembangan positif ke arah itu.
“Perniagaan francais telah masuk ke Malaysia sejak tahun 1970-an tetapi hanya mula berkembang pada tahun 1990-an selepas kerajaan menggubal undang-undang khas mengenainya dan mempunyai sumber kewangan mencukupi bagi memajukannya.
“Disebabkan itu, pembangunan industri francais di negara ini dianggap masih muda tetapi kini ramai sudah melihat potensi skim perniagaan francais yang sangat baik.
“Malah untuk belanjawan 2021 yang bakal dibawa ke Parlimen pada tahun ini, kementerian turut memberi penekanan bukan sahaja kepada keusahawanan yang biasa tetapi melihat aspek koperasi dan francais,” katanya.
Bantuan kewangan
Selain itu, beliau berkata, sumber kewangan atau skim bantuan kewangan untuk golongan francais akan diperbanyakkan lagi kerana pihaknya menyedari kebimbangan golongan bumiputera yang risau mengenai tempoh pulangan pelaburan yang bakal diperoleh.
Menurutnya, walaupun Malaysia masih pada peringkat awal mempelopori francais, industri itu bagaimanapun setakat ini telah memberi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM35 bilion.
“Dari sudut perniagaan, ia mungkin bukan satu jumlah yang besar tetapi oleh sebab Malaysia masih pada peringkat awal untuk membawa francais ini ke hadapan, maka pencapaian itu sudah dianggap sebagai cukup besar.
“Jika lebih banyak inisiatif baharu dapat dibuat bagi membawa francaisor produk pelopor ke depan, ia juga akan memudahkan francaisi memperoleh perniagaan bersama sumber kewangan dan latihan.
“Bagi usahawan yang berminat untuk membuat francais, kita minta mereka hadir di Perbadanan Nasional (PNS) yang kini berada di bawah MEDAC untuk mendapatkan nasihat serta bimbingan kerana badan berkenaan berfungsi membangunkan perdagangan francais di seluruh negara,” katanya.
Wan Junaidi berkata, PNS mempunyai sistem sendiri bagi menilai mana-mana produk untuk dijual dan difrancaiskan, selain mempunyai sumber kewangan atau dana sendiri untuk menjayakan program mereka.
Menurutnya, PNS juga menyediakan khidmat nasihat dan pembiayaan kepada jenama francais seperti Marrybrown, Manhattan Fish Market dan sebagainya.
“Menerusi PNS, kita harap dapat mengenal pasti produk-produk baharu dan sistem yang boleh diambil serta bekerjasama dengan pemilik jenama supaya dapat difrancaiskan.
“Selain itu, kita mahu promosikan dan memperbanyak perniagaan yang boleh menjadi perniagaan antarabangsa seperti KFC,” katanya.
Wan Junaidi berkata, pihaknya sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada PNS bagi memastikan program yang dijalankan mampu merancakkan lagi industri francais agar terus berdaya maju.
Menurutnya, terdapat beberapa program yang telah dilaksanakan pihaknya iaitu New Entrepreneurs of Franchise (NEWFREN), Success Women Entrepreneurship Engagement Talents (SWEET) dan Young Entrepreneurship Engagement Talents (YOUNITY).
Covid-19
“Kita bukan hanya fokus kepada golongan dewasa tetapi juga belia, malah saya juga minta timbalan saya untuk melihat pembangunan keusahawanan wanita yang terjejas akibat koronavirus (Covid-19) termasuklah yang melaksanakan francais untuk melihat apa yang boleh dibantu dari masa ke masa.
“Kita juga bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pengajian Tinggi kerana ramai lepasan universiti yang diaporkan tiada kerja. Kita berhasrat untuk beri mereka latihan dalam beberapa skim dalam bidang francais dan bidang keusahawanan yang lain,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, banyak inisiatif yang dirancang PNS dan telah disenaraikan dalam Belanjawan 2021.
Menurutnya, jika ia diluluskan kerajaan, terdapat lebih 100 program baharu melibatkan isu individu yang berdepan risiko kewangan, muflis dan mereka yang mahu beralih perniagaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!