'Demi politik sanggup pertaruhkan nyawa rakyat'
SHAH ALAM - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyindir tindakan ahli politik yang disifatkannya sebagai mementingkan diri sendiri demi kepentingan politik sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa rakyat.
Beliau berkata, ketika ini ahli-ahli politik sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan politik.
“Bagi membuktikan ketulusan mereka dalam berpolitik merebut pengaruh, nyawa rakyat pun mereka sanggup bertaruh.
“Bagi membuktikan keikhlasan mereka berpolitik mengharungi badai, nyawa rakyat pun mereka gadai.
“Bagi membuktikan keluhuran untuk politik mereka kekal megah, nyawa rakyat pun mereka jual dengan murah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya sebentar tadi.
Kenyataan Mufti Perlis itu dipercayai merujuk kepada lonjakan kes koronavirus (Covid-19) dan perkembangan politik semasa ketika negara masih berdepan ancaman pandemik itu.
“Benar, kebanyakan orang politik jujur untuk kepentingan diri mereka. Sekalipun memusnahkan diri orang lain...apa warna, apa slogan, apa sepanduk, apa seruan, apa dalil, apa gelaran, apa lambang, apa jenama.
“Sikap kebanyakan mereka hampir sama,” katanya.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan negara mencatatkan 287 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam antara paling tinggi sejak wabak itu menular.
ARTIKEL BERKAITAN: Aspek Covid-19 perlu jadi pertimbangan sebelum bubar Parlimen
Kerajaan PN diminta cari jalan tangguh PRK di Sabah: Najib
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!