Utamakan kebajikan mahasiswa: Pemuda Pas

Ir Khairil Nizam Khirudin
Ir Khairil Nizam Khirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas mendesak supaya setiap keputusan dan tindakan dibuat oleh kerajaan, pihak universiti atau mana-mana pihak mestilah mengutamakan kebajikan mahasiswa.

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, golongan mahasiswa adalah yang paling terkesan dalam segala perubahan dasar dan polisi melibatkan pengajian tinggi.

Justeru, beliau berkata, kebajikan mereka haruslah sentiasa diutamakan.

"Sudah pasti ramai mahasiswa mengalami kesukaran khususnya ketiadaan tempat tinggal dan kekurangan wang akibat penangguhan kemasukan yang dibuat dalam tempoh yang amat singkat.

"Oleh itu, mahasiswa harus dibantu. Pastinya kita tidak mahu adik-adik kita berlapar dan merempat kerana kelewatan kita mengumumkan polisi dan tindakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, Pemuda Pas memperuntukkan bantuan segera sebanyak RM15,000 bagi membantu mahasiswa terkesan akibat penangguhan itu serta terkesan dengan keadaan sepanjang wabak koronavirus (Covid-19).

"Pemuda Pas juga mengarahkan semua Pemuda di peringkat kawasan dan negeri menyediakan tabung infaq kecemasan khusus serta bantuan keperluan buat mahasiswa memerlukan bantuan kewangan atau tempat tinggal di kawasan mereka.

"Tidak kira sama ada mahasiswa itu tinggal di kawasan tersebut atau belajar di institusi pengajian tinggi dalam kawasan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Pemuda Pas kawasan dan negeri diarah mendekati persatuan-persatuan mahasiswa dan pimpinan pelajar di universiti berdekatan bagi melihat keperluan boleh dibantu meringankan beban mereka.

"Dalam pada itu, Pemuda Pas ingin mengajak semua menteri, timbalan menteri, ahli-ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas untuk bersama-sama membantu kami dalam hal itu.

"Penglibatan kepimpinan dalam membela kebajikan para mahasiswa amat diperlukan. Biar mereka rasa bahawa kita turut bersama mereka, memahami dan merasai keperitan mereka dan sentiasa ada dengan mereka.

"Bukan hanya rakyat jaga rakyat tapi kita jaga rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!