Nilai semula kuasa penganugerahan PJM: PVATTBM

Ismail Abidin
Ismail Abidin
A
A
A

KANGAR - Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) memohon cadangan penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang tertakluk kepada Menteri Pertahanan sebelum ini dinilai semula kerajaan.

Presidennya, Datuk Ismail Abidin berkata, pihaknya mengusulkan kuasa penganugerahan diturunkan kepada Timbalan Menteri ataupun Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membolehkan senarai 30,000 penerima masih menunggu penganugerahan dapat dipendekkan.

Ismail berkata, pihaknya membuat cadangan kuasa penganugerahan diturunkan kepada Timbalan Menteri mahupun Panglima ATM susulan hanya 2,000 penerima PJM dapat diselesaikan penganugerahan mereka dalam tempoh setahun.

"Saya mohon supaya penganugerahan PJM diperturunkan kepada Timbalan Menteri ataupun panglima ATM sama ada laut, darat dan udara supaya dapat mempercepatkan prosesnya.

"Hal itu memandangkan golongan penerima PJM sudah pun berusia antara 80 hingga 90 tahun, jadi kita mencadangkan perkara tersebut demi mempercepatkan penerimaan," katanya ketika ditemui Mesyuarat Agung Tahunan PVATTBM Perlis di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, Mejar Rozali Abd Rahman.

Dalam perkembangan lain, katanya, kerajaan digesa menyegerakan pembayaran bantuan khas kewangan dan elaun kenangan PJM masing-masing sebanyak RM500 kepada veteran di seluruh Malaysia.

"Malah, kita mencadangkan supaya seorang dari kalangan veteran tentera boleh dilantik menjadi Timbalan Menteri Pertahanan 2 khusus menjaga kebajikan-kebajikan lebih 300,000 veteran di negara ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!