UiTM nafi halau pelajar
SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) menafikan kenyataan yang mendakwa pihak universiti itu menghalau pelajar yang hadir untuk pendaftaran kemasukan secara fizikal.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata, meskipun penangguhan pendaftaran secara fizikal dikuatkuasakan, ia tidak bermakna pelajar yang mendaftar akan dihalau.
Sebaliknya menurut beliau, pelajar terbabit diberi pilihan sama ada untuk pulang atau tinggal di kolej.
"Kekeliruan yang berlaku adalah disebabkan salah faham berikutan sumber yang tidak tepat diperolehi pelajar.
“UiTM sebenarnya telah pun mengeluarkan pekeliling yang bersangkutan untuk menangani arahan penangguhan pendaftaran para pelajar.
"Pekeliling Naib Canselor Bilangan 24/2020 yang dikeluarkan semalam jelas menyatakan bahawa penangguhan ini dibuat semata-mata untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan para pelajar tetap terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, ekoran daripada aduan dan rungutan pelajar yang tular di media sosial, pihak universiti akan menjalankan siasatan terperinci untuk memastikan bahawa ia tidak berlaku.
Menurutnya, UiTM tidak akan mengambil mudah dengan sebarang isu yang dibangkitkan kerana amat memahami sebarang kemungkinan, kesulitan dan kekeliruan yang timbul.
"Sehubungan itu, saya menyeru para pelajar yang berhadapan dengan apa-apa masalah seperti yang telah berada di kampus, yang ingin pulang dan tidak pasti apa yang hendak dibuat, segeralah berhubung dengan bilik gerakan di kampus masing-masing untuk mendapat bantuan yang sewajarnya," kata beliau.
Menyentuh isu yang mendakwa UiTM tidak menanggung segala kos sepanjang penginapan pelajar sekiranya PKP dikuatkuasakan, beliau berkata, ia bukan kenyataan rasmi UiTM.
ARTIKEL BERKAITAN: Noraini minta maaf, harap IPT bertimbang rasa urus hal penangguhan
Keputusan saat akhir susahkan pelajar IPT
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!