Lucut senjata nuklear: Malaysia komited terhadap NPT

Hishammuddin Tun Hussein 2
Hishammuddin Tun Hussein 2
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia sekali lagi menegaskan komitmennya terhadap Triti Mengenai Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) dalam membawa negara-negara pihak bersama ke arah mencapai matlamat dunia bebas senjata nuklear.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, walaupun persekitaran keselamatan yang mencabar dan cabaran semasa Covid-19 ketika ini, kegigihan untuk pelucutan senjata mesti kekal.

"Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Utama 1 Mengenai Pelucutan Senjata Nuklear pada Persidangan Kajian Semula NPT 2020, Malaysia berharap Persidangan Kajian Semula itu dan persidangan terawalnya pada satu tarikh yang akan dipersetujui, akan berjaya membawa negara-negara pihak ke arah mencapai matlamat dunia bebas senjata nuklear,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin membacakan kenyataan itu melalui rakaman video pada mesyuarat peringkat tinggi bagi memperingati dan mempromosikan Hari Penghapusan Senjata Nuklear Sedunia di New York.

Beliau berkata, status quo dunia dengan senjata nuklear tidak dapat diterima serta tidak mapan dan menjadi tanggungjawab semua untuk merealisasikan objektif dunia bebas senjata nuklear.

"Undang-undang antarabangsa dan pendekatan multilateral untuk pelucutan senjata nuklear mesti diperkukuhkan. Sehubungan itu, saya dengan sukacitanya mengumumkan Malaysia baru-baru ini telah menyerahkan ratifikasi Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW).

“Kami yakin dengan berkuat kuasanya perjanjian itu akan mengukuhkan norma global terhadap senjata nuklear, menghantar mesej jelas bahawa senjata nuklear secara kategorinya tidak boleh diterima dan melengkapkan instrumen undang-undang antarabangsa sedia ada berkaitan pelucutan dan pengawalan senjata nuklear,” katanya.

Menurutnya, keselamatan untuk semua hanya dapat dijamin dengan penghapusan senjata nuklear secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

"NPT kekal sebagai asas kerangka untuk pelucutan dan pengawalan senjata nuklear antarabangsa.

“TPN dan TPNW boleh wujud bersama dan ia memberi jalan bagi negara yang memiliki nuklear untuk menjadi anggota,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!