Tronserve Link laman web pertama berkonsepkan DIY
PETALING JAYA - Syarikat teknologi dan perisian digital pertama di Malaysia, Tronserve (M) Sdn Bhd memperkenalkan laman web Tronserve Link yang berkonsepkan DIY (do it yourself) serta aplikasi mesyuarat secara maya pertama di Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Pemasarannya, Muhammad Arash Abdullah, kemunculan Tronserve Link turut mencipta satu fenomena baru apabila ia memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia untuk mengadakan mesyuarat atau interaksi secara maya.
"Pelancaran dua platform terbaru itu dilihat sebagai satu kemudahan dalam mendepani Revolusi Perindustrian Keempat atau Industri 4.0 yang kini giat dibicarakan pelbagai pihak.
“Sudah tiba masanya untuk kita menyesuaikan diri dalam mendepani gelombang perubahan kepada gaya hidup dan cara kita bekerja. Ditambah pula pandemik Covid-19 (koronavirus), platform sebegini bakal membantu rakyat Malaysia untuk menjadi individu yang lebih maju serta mahir dalam IT.
"Selain itu, laman web itu turut memberi peluang pekerjaan bagi membantu syarikat serta rakyat yang mencari pekerja dan pekerjaan dengan lebih mudah dan berkesan.
"Orang ramai juga boleh menimba ilmu apabila ia memberi ruang kepada tenaga pengajar dan pelajar bertukar bahan pelajaran secara atas talian," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Platform Laman Web Konsep DIY dan Aplikasi Mesyuarat Maya, Link Pertama di Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir, pengasas Tronserve, Datuk Allan Goh dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Keith Ooi Kuan Keat.
Katanya, laman web yang dibangunkan rakyat tempatan ini menawarkan tawaran harga lebih murah kepada syarikat, usahawan termasuk individu yang ingin memiliki laman web rasmi sendiri.
“Kita memberi peluang kepada semua pihak mencipta laman web mereka untuk mempromosikan apa sahaja perkara atau perniagaan yang mereka ceburi kepada umum dengan harga serendah RM30 sebulan," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Arash berkata, platform mesyuarat maya merupakan satu langkah tepat apabila kebanyakan syarikat tempatan meminta pekerja mereka bekerja dari rumah.
"Tronserve Link ini juga mampu menghubungkan antara majikan dan pekerja dengan mudah dan pantas selain keselamatan data setiap individu turut terjamin," katanya.
Jelas beliau lagi, pihaknya turut memperkenalkan 'Referral Program' yang menjana pendapatan tambahan serta meningkatkan pasif aliran tunai kepada syarikat dan individu.
"Tawaran ini diberikan kepada rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan terutamanya disebabkan wabak Covid-19 selain mengajak selebriti serta penggiat seni untuk menyertai program ini kerana ia menjanjikan ganjaran wang tunai yang lumayan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!