Ketiadaan Mane buka peluang Jota beraksi
KETIADAAN Sadio Mane dalam kesebelasan Liverpool ketika berdepan Aston Villa di Villa Park awal pagi Isnin ini setelah disahkan positif Covid-19, bakal menyaksikan aksi sulung bintang Portugal Diogo Jota pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), musim ini.
Jota, 24 yang melakukan debut pada aksi Piala Liga berdepan Arsenal di Anfield, Khamis lalu.
Selain Mane, pemain Sepanyol Thiago Alcantara turut disahkan positif Covid-19, Isnin lalu.
Difahamkan, Mane dan Alcantara kini masing-masing sedang menjalani proses isolasi selama dua minggu.
Situasi berkenaan secara keseluruhannya dilihat telah memberikan kesan terhadap segala perancangan yang telah disusun oleh pengendali The Reds, Jurgen Klopp musim ini.
Apatah lagi ia ditambah dengan masalah kecederaan yang dialami Jordan Henderson, Jeol Matip, Alex Oxlade-Chamberlain dan Kostas Tsimikas.
Situasi berkenaan menyaksikan rombongan skuad The Reds ke Villa Park hanya melibatkan 18 pemain.
Untuk rekod, gelombang kedua Covid-19 di United Kingdom (UK) ketika ini telah merekodkan 7,000 kes baharu dengan 66 kematian.
Secara keseluruhannya, sebanyak 10 kes baharu direkodkan dalam saingan EPL kali ini dan ia turut melibatkan pemain Manchester City, Ilkay Gundogan serta pengendali West Ham, David Moyes yang disahkan positif dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!