Cadangan hapuskan tol sedang dibincangkan kerajaan
PETALING JAYA - Cadangan penghapusan tol telah dibawa ke dalam mesyuarat Kabinet.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara itu kini sedang dibincangkan dan sedang diperhalusi secara teliti untuk mengelakkan sebarang implikasi sebelum keputusan muktamad dibuat oleh kerajaan.
"Perkara itu sedang dibincangkan dalam Kabinet,soal nak menghapuskan tol menimbulkan beberapa soalan lain dan kita perlu beri pertimbangan kepada masalah-masalah yang akan timbul berkenaan dengan apa jua tindakan yang diambil terhadap tol di Malaysia," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Bersatu, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas cadangan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim yang mengusulkan formula supaya kerajaan menghapuskan satu tol dan menurunkan harga minyak sebagai salah satu cara untuk memenangi PRK Dun Semenyih pada Mac depan.
Rais berkata, antara punca kekalahan PH pada PRK Cameron Highlands adalah kerana beberapa tindakan kerajaan yang tidak melaksanakan janji mereka.
"Mungkir janji orang tak suka, orang tak pilih kita. Pimpinan atasan PH tentu lebih daripada faham kenapa kalah di Cameron Highlands.
"Untuk itu tutup satu tol kurangkn harga minyak untuk motoris Malaysia. Tunai janji Felda pra-Mei 2018. Buat stok penimbal beras, tepong, minyak masak, susu anak. Semenyih menang," katanya di Twitter.
ARTIKEL BERKAITAN: BN menang, Ramli cipta sejarah Orang Asli jadi MP
Sebelum itu, Dr Mahathir menerima lima ribu keping permohonan borang kemasukan Bersatu.
Borang permohonan diserahkan oleh Datuk Zulkifli Ali , dan borang keahlian itu datangnya dari Negeri Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan seluruh Semenanjung Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!