Contohi semangat sukarelawan Sukma: MB Perak
IPOH - Semangat sukarelawan yang ditonjolkan dalam penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-19 lalu perlu dicontohi bagi memastikan negeri ini mampu menjadi penganjur terbaik dalam setiap acara.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, nilai tanggungjawab dipamerkan para sukarelawan telah merealisasikan hasrat kerajaan negeri menjadikan Sukma 2018 antara terbaik dan terbesar pernah dianjurkan.
"Boleh dikira semua tempat telah dibantu oleh pasukan sukarelawan, dari depan ke belakang, kanan ke kiri, atas ke bawah, tanpa sokongan mereka, penganjuran kejohanan ini pastinya lemah.
"Pertemuan kita ini bukan atas dasar sukan semata, tetapi nilai tanggungjawab dalam memberikan yang terbaik kepada negeri Perak, nilai ini seharusnya menjadi contoh kepada rakan-rakan yang lain," katanya pada Majlis Penghargaan Sukarelawan Sukma ke-19 dan Para Sukma di Pusat Konvensyen Ipoh, hari ini.
Teks beliau dibacakan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How.
Menurutnya, keberadaan pasukan sukarelawan adalah satu jaringan amat diperlukan kerajaan dan mampu menyejahterakan hubungan penjawat awam antara jabatan bersama rakyat.
"Mana yang kurang kita bantu, mana yang tidak sempurna kita lengkapkan, bukan hanya menuding jari dan mencari salah, tetapi kita perlu saling berganding bahu dan melengkapi antara pentadbiran negeri serta masyarakat untuk memastikan Perak sentiasa disegani," katanya.
Beliau turut mengharapkan, setiap pasukan sukarelawan tidak jemu untuk terus membantu kerajaan dalam mana-mana program sebagai tanda prihatin akan kemakmuran negeri ini.
"Sebelum Sukma bermula, saya begitu bimbang adakah kita mampu memberikan terbaik dalam melayani hampir 12,000 atlet dan pegawai yang berkunjung ke negeri ini.
"Syukur atas kerjasama erat semua pihak terutama sukarelawan, kita berjaya membuktikan rakyat Perak mampu menganjurkan kejohanan yang besar," katanya.
Sukma Perak yang berlangsung pada 11 hingga 22 September dan Para Sukma pada 21 hingga 28 November lalu mengumpulkan lebih 19,000 sukarelawan.
Ia juga merupakan bilangan sukarelawan teramai dalam sejarah penganjuran Sukma.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!