PLUS ingatkan orang ramai terus patuhi SOP

PLUS akan memastikan setiap anggota PLUSRonda yang berhadapan dengan pelanggan mematuhi SOP ditetapkan MKN dan KKM.
PLUS akan memastikan setiap anggota PLUSRonda yang berhadapan dengan pelanggan mematuhi SOP ditetapkan MKN dan KKM.
A
A
A

SHAH ALAM - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila berada di kawasan awam seperti di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan ketika berinteraksi dengan Pembantu Khidmat Pelanggan PLUS di lorong tol.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, ia berikutan peningkatan jumlah jangkitan koronavirus (Covid-19) secara mendadak di seluruh negara sejak kebelakangan ini terutama di negeri-negeri di mana rangkaian lebuh raya PLUS beroperasi.

"Dengan kira-kira 1.5 juta kenderaan memasuki lebuh raya setiap hari dan peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 pada ketika ini, ia memerlukan PLUS untuk sentiasa berwaspada.

"Setiap petugas PLUS daripada Pembantu Khidmat Pelanggan, anggota PLUSRonda sehingga kepada penyelia plaza tol mematuhi sepenuhnya SOP dengan memakai pelitup muka dan memastikan penjarakkan fizikal satu meter pada setiap masa ketika berinteraksi dengan pelanggan.

"Oleh itu, kami memohon kerjasama yang sama daripada pelanggan kami supaya mematuhi SOP ini ketika petugas kami memberikan perkhidmatan kepada anda di lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, penting bagi semua pihak memainkan peranan dengan mematuhi SOP untuk memastikan keselamatan pelanggan, petugas barisan hadapan PLUS dan orang ramai yang memasuki lebuh raya selari dengan arahan kerajaan dalam menghadapi wabak ini iaitu #KitaJagaKita.

Katanya, PLUS juga akan memastikan setiap anggota PLUSRonda yang berhadapan dengan pelanggan diwajibkan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakkan fizikal satu meter ketika hadir memberikan bantuan kepada pelanggan yang terkandas di lebuh raya.

"PLUS secara berterusan akan meningkatkan pemantauan di lokasi-lokasi tumpuan pelanggan terutamanya di kawasan R&R dan plaza tol untuk memastikan keselamatan dan keselesaan kepada petugas barisan hadapan kami, pelanggan dan rakan niaga," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: 'Tangguh perhimpunan, persidangan skala besar'

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!