Covid-19: Tiga lagi kluster baharu dikesan
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenalpasti tiga kluster baharu membabitkan dua di Kedah dan satu di Selangor.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu adalah Kluster Bah Lunas, Kedah, Kluster Bah Rose, Kedah dan Kluster Jelok, Selangor.
"Kluster Bah Lunas, Kedah ini dikenal pasti di Kulim. Kes indeks kluster ini iaitu kes ke-11,471 adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 35
tahun yang pulang dari kawasan berisiko di Sabah.
"Sehingga 3 Oktober, sejumlah 112 individu telah disaring, empat didapati positif, 21 negatif dan 87 individu masih menunggu keputusan. Semua kes positif ini membabitkan warganegara Malaysia," katanya pada sidang akhbar berhubung situasi semasa jangkitan penyakit Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Menurutnya, bagi Kluster Bah Rose pula, kes indeks kluster ini adalah kes ke-11,212 adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 48 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.
Katanya, kes dikesan positif pada 29 September lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.
"Sejumlah 477 individu yang mempunyai kontak rapat dengan kes indeks kluster ini telah disaring. Lapan dikesan positif, 140 individu negatif dan 329 masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Jelok pula dikenal pasti di Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan kini empat kes positif telah dikesan.
"Kes indeks kluster ini iaitu kes ke-11,788 adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 27 tahun.
"Punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!