Ibu redah Jambatan Pulau Pinang hantar anak ke USM

Jumiati menunggang motosikal sejauh 50 kilometer untuk menghantar anaknya ke USM.
Jumiati menunggang motosikal sejauh 50 kilometer untuk menghantar anaknya ke USM.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang ibu lega selepas pihak Universiti Sains Malaysia (USM) memberi tiga pilihan utama kepada pelajar baharu ketika mendaftarkan diri di institusi tersebut bagi sidang akademik 2020-2021.

Dengan hanya menunggang motosikal, Jumiati Masud, 53, sanggup meredah perjalanan sejauh 50 kilometer dari Simpang Empat, Seberang Perai Selatan semata-mata ingin menghantar anaknya, Muhammad Izzulhaq Mohamed Hasnan, 19, ke USM semalam.

Menurut Jumiati, dia hanya mahukan yang terbaik untuk anaknya dan memilih untuk anaknya itu tinggal di asrama.

"Saya bersyukur kerana masih boleh membuat pilihan dalam memberikan keselesaan kepada anak saya untuk menimba ilmu dalam suasana yang lebih kondusif dan merasai suasana menjalani kehidupan baru sebagai mahasiswa.

"Saya mengambil maklum dengan situasi semasa, yang mana USM memberikan tiga pilihan utama untuk pelajar baharu ketika mendaftarkan diri secara rasmi sebagai warga kampus dan saya memilih untuk anak saya tinggal di asrama," katanya ketika ditemui di USM semalam.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia memilih pilihan itu untuk kebaikan anaknya dalam pembelajaran susulan di rumahnya kemudahan internet tidak begitu baik selain tiada kemudahan jalur lebar tanpa wayar (WiFi).

"Saya memilih untuk anak saya tinggal di asrama. Biarlah Muhammad Izzul belajar dalam suasana yang terbaik kerana jika di rumah, kemudahan internet tidaklah begitu baik dan kami tiada kemudahan WiFi atau sebagainya.

"Saya hanya mahu anak-anak belajar bersungguh-sungguh dan jadi insan berguna. Saya juga bersyukur dan gembira kerana hasrat Muhammad Izzulhaq untuk melanjutkan pengajian di USM dalam jurusan pendidikan dimakbulkan ALLAH SWT selain jarak dari rumah, tidak jauh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dia yang hanya menjual kuih untuk menyara keluarga berkata, sebelum ini Muhammad Izzul pernah menerima tawaran dari sebuah universiti di Kuala Lumpur namun terpaksa ditolak kerana masalah kewangan.

Muhammad Izzulhaq gembira kerana dapat menyambung pelajaran di USM.
Muhammad Izzulhaq gembira kerana dapat menyambung pelajaran di USM.

Ditanya mengenai usahanya menunggang motosikal meredah Jambatan Pulau Pinang untuk menghantar anaknya itu, Jumiati berkata, semua ibu akan melakukan yang terbaik untuk anak-anaknya.

"Saya hanya ada motosikal sebagai pengangkutan utama kami sekeluarga menjalankan urusan harian.

"Saya pasti, semua ibu akan lakukan yang terbaik untuk anak-anaknya," katanya.

Sementara itu, Muhammad Izzulhaq berkata, dia amat terharu dengan pengorbanan ibunya dan berazam belajar bersungguh-sungguh untuk memberikan kesenangan kepada ibunya kelak.

"Saya juga risau lihat ibu balik sendiri ke Simpang Empat, namun terpaksa akur kerana ibu tekad dan sanggup bersusah-payah demi saya.

"Saya berdoa semoga ALLAH SWT permudahkan urusan saya untuk menimba ilmu di USM," katanya yang mendapat keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.96 di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.

Muhammad Izzulhaq merupakan pelajar Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan dan ditempatkan di Desasiswa Restu.

Dia adalah antara pelajar baharu USM yang mendaftar pada hari kedua sesi pendaftaran pandu lalu sidang akademik 2020/2021 di sini hari ini.

Semalam, USM memperkenalkan pendaftaran pandu lalu kepada semua pelajar baharunya bagi sidang akademik 2020-2021 untuk memastikan keselamatan semua pihak termasuk pelajar susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

USM turut memperkenalkan MyDaftar iaitu satu sistem pendaftaran dalam talian yang hanya mengambil masa kurang lima saat.

Bagi pelajar baharu USM yang sudah dalam perjalanan ke kampus dibenarkan mendaftar dengan diberikan tiga pilihan utama iaitu dibenarkan mendaftar dan terus mengikut waris pulang ke rumah; mendaftar, meletakkan barangan di asrama dan pulang serta mendaftar dan terus tinggal di asrama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!