Kertas Putih Pertahanan masukkan propaganda ancam keamanan
KUALA LUMPUR - Propaganda keganasan, elemen mengganggu-gugat keamanan dan ancaman masa depan adalah antara perkara yang akan dimasukkan dalam Kertas Putih Pertahanan untuk maklumat orang ramai, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.
Beliau berkata kertas putih itu bersifat lebih meluas dan rakyat akan mengetahui dasar pertahanan negara untuk tempoh jangka pendek dan panjang.
“Penyediaan kertas putih ini kami rangka untuk 10 tahun akan datang dan dalam masa itu boleh dikaji setiap masa.
“Rakyat juga ingin tahu pasal pertahanan negara dan tanggungjawab mereka berkaitan pertahanan negara, inilah polisi kertas putih seperti yang telah dilakukan negara lain,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Persidangan Meja Bulat Peringkat Tinggi Kertas Putih Pertahanan di Wisma Perwira hari ini.
Persidangan meja bulat itu turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar.
Sebelum ini, Mohamad Sabu dilapor berkata Kertas Putih Pertahanan yang akan dibentang di Parlimen Julai ini adalah dokumen yang bukan lagi diklasifikasi sebagai ‘sulit’ dan boleh ditatap oleh semua rakyat Malaysia.
Pendedahan itu akan memberikan maklumat yang berkaitan kepada orang ramai, menjadikan kementerian lebih bertanggunjawab dalam setiap tindak-tanduknya.
Ditanya mengenai peranan empat kementerian lain; Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar, Kementerian Komunikasi Dan Multimedia dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Mohamad berkata setiap kementerian akan memainkan peranan mengikut portfolio masing-masing.
Jelas Mohamad lagi, bagi kementeriannya sendiri, apa jua bentuk keganasan dan yang masih aktif akan dilihat dengan lebih terperinci melalui kertas putih ini termasuk isu serantau dengan rakan-rakan Asean lain kerana ia bersifat global dan merentasi sempadan.
Ditanya jika kesilapan kerajaan pada pentadbiran lepas akan dimasukkan di dalam kertas putih itu, beliau berkata: “Kami ada jawatankuasa kalau ada penyelewengan dan sudah dikemukakan dalam laporan untuk dijadikan panduan agar kesilapan itu tidak berulang.
“Ia satu langkah untuk bergerak ke hadapan, kami tidak mahu terus menyalahkan dan tidak bergerak ke hadapan. Ia bergantung kepada polisi dan sekuriti,” katanya. – Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!