KASA atasi pencemaran Sungai Gong
RAWANG - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengambil empat langkah utama melibatkan aspek perundangan selain menambah lima stesen kualiti air di Sungai Selangor susulan pencemaran Sungai Gong di sini bulan lalu.
Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, aspek perundangan melibatkan pindaan akta mengambil masa sekurang-kurangnya setahun untuk diluluskan mengikut prosedur ditetapkan.
“Langkah cepat ialah dengan membuat beberapa peraturan baharu pada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air yang saya jangka dalam tempoh enam bulan kita mampu siapkan.
“Kemudian langkah ketiga dengan penambahan lima stesen kualiti air di Sungai Selangor yang mengambil masa enam bulan dan langkah terakhir yang paling cepat menerusi projek denai yang boleh kita siapkan sehari di laluan sejauh 1.3 kilometer,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program gotong-royong membina denai di Sungai Gong di Stesen Kawalan Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Taman Bayu Permai di sini semalam.
Seramai 250 peserta daripada KASA serta agensi lain termasuk JPS, Jabatan Alam Sekitar (JAS), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat terlibat dalam program itu.
Zaini berkata, kaedah teknologi antara kaedah yang ditekankan namun turut mempunyai kelemahan terutama melibatkan masalah dana sekiranya dilaksanakan di semua sungai.
Jelas beliau, pembinaan denai itu membantu mengatasi pencemaran selain bermanfaat untuk rekreasi dan aktiviti pembangunan kemasyarakatan.
“Dalam tempoh lebih dua jam menjalankan kerja pembersihan di tebing Sungai Gong ini, kita jumpa banyak sisa dibuang di pinggir sungai daripada sisa berjadual, kegiatan komersial dan botol plastik.
“Jika kita dapat jaga denai ini, saya yakin tiada pihak yang berani mencemarkan sungai sesuka hati,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!