Tangan cedera tersepit rantai motosikal
TELUK INTAN - Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun cedera di tangan kirinya akibat tersepit pada gegancu (sprocket) rantai motosikal yang sedang bergerak di Sungai Suli, Kampung Bahagia di sini hari ini.
Difahamkan kejadian itu berlaku apabila bahagian baju labuh yang dipakai mangsa tersangkut pada rantai menyebabkan tangan mangsa tertarik sebelum terjatuh daripada motosikal yang ditunggang oleh adiknya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Ismail Mohd Yunus berkata, sepasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 8.38 pagi.
“Setibanya di tempat kejadian mendapati tangan mangsa tersepit hingga ke lengan antara rim tayar dan sprocket rantai bahagian kiri motosikal jenis Yamaha Exciter.
“Anggota bertindak mengeluarkan tangan mangsa dengan meleraikan bahagian tayar dan memotong rantai dengan menggunakan pemotong hidraulik,” katanya.
Katanya, tangan mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira 15 minit kemudian.
“Mangsa mengalami kecederaan di tangan kiri dan kaki akibat terseret dalam kemalangan itu.
“Mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan dan dihantar ke Hospital Teluk Intan bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya yang tamat operasi pada jam 9 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!