PRN Sabah: BN disabotaj atau salah strategi?

Kamarul Zaman Yusoff
Kamarul Zaman Yusoff
A
A
A

ALOR SETAR - Barisan Nasional (BN) wajar menilai semula rakan pakatannya di Sabah kerana Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan MCA seolah-olah tidak boleh diharapkan untuk memberi kemenangan.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, penelitian juga harus menjurus kepada sama ada wujud unsur sabotaj atau salah strategi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu.

Menurutnya, BN bertanding di 41 kerusi dan menang 14 kerusi (34.15 peratus) manakala kalah di 27 kerusi (65.85 peratus). Daripada keseluruhan 32 kerusi ditandingi UMNO, parti itu bolot 14 kerusi dan kalah 18 kerusi.

“Prestasi setiap rakan parti harus diambil kira selepas ini, UMNO perlu fikirkan kembali dengan parti mana harus berpakat, namun UMNO secara bersendirian tidak mampu melangkah jauh,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Kamarul Zaman berkata, kekalahan paling banyak BN adalah membabitkan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), calon DAP yang bertanding atas tiket Warisan dan calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang bersekutu dengannya iaitu 17 kerusi (62.96 peratus).

“Jika ada unsur sabotaj ia terlalu minima berbanding kekuatan pihak lawan. Kekalahan kedua paling banyak BN membabitkan calon parti yang bersekutu dengan Perikatan Nasional (PN), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) iaitu tujuh kerusi (25.93 peratus). Disebabkan PBS dan STAR turut bertanding sesama sendiri, sukar menelah adanya cubaan mensabotaj BN,” katanya.

Menurutnya, kekalahan BN pada calon bebas, iaitu tiga kerusi (11.11 peratus) agak menarik diperkatakan kerana Datuk Masiung Banah adalah bekas pemimpin UPKO dan Warisan, Datuk Rubin Balang bekas pemimpin UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala Datuk Seri Dr Ruddy Awah adalah bekas pemimpin UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Bersatu.

“Apakah kekalahan BN pada tiga calon bebas ini kerana disabotaj, silap strategi atau kedua-duanya sekali perlu dikaji dengan teliti. Kalau ada unsur sabotaj, ia tidak membawa kepada kesimpulan bahawa prestasi kurang baik BN adalah kerana disabotaj,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan analisa keputusan, daripada 27 kerusi BN kalah, 13 kerusi (48.15 peratus) adalah kekalahan di tangan calon Warisan melibatkan 12 calon UMNO dan satu calon MCA.

“Empat kerusi (14.81 peratus) tewas pada calon PBS iaitu kekalahan dua calon UMNO dan dua calon PBRS. Tiga kerusi (11.11 peratus) tewas pada calon STAR (dua calon PBRS dan satu calon UMNO).

"Tiga kerusi (11.11 peratus) tewas pada calon DAP, yang ditandingi tiga calon MCA manakala tiga kerusi ditandingi UMNO (11.11 peratus) tewas pada calon bebas. Satu kerusi (3.70 peratus) kalah pada calon UPKO iaitu calon PBRS,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, berdasarkan prestasi UMNO, 12 daripada 18 kerusi yang kalah adalah tewas di tangan calon Warisan.

“Tiga kerusi tewas di tangan calon bebas, dua membabitkan kekalahan di tangan calon PBS, satu kerusi tewas pada calon STAR. Salah satu parti komponen BN iaitu PBRS bertanding di lima kerusi dan kalah di kesemua kerusi, dimenangi PBS (dua), STAR (dua), UPKO (satu),” katanya.

Menurutnya, prestasi MCA amat mengecewakan apabila kalah di semua empat kerusi ditandingi dan dimenangi tiga calon DAP dan Warisan (satu).

PRN Sabah menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membabitkan BN, PN dan PBS berjaya memperoleh majoriti selepas meraih 38 daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Warisan pula memperoleh 23 kerusi DUN, DAP (6), PKR (2), UPKO (1) dan Bebas (3).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!