Ancelotti ingatkan Toffees kekal tenang
PENGURUS Everton, Carlo Ancelotti tidak mahu pemain-pemainnya terbuai-buai permulaan baik sejak 1894-95 selepas mengatasi Brighton 4-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi.
Sebaliknya pengendali berusia 61 tahun kelahiran Itali itu menuntut anak-anak buahnya untuk lebih fokus melebarkan tujuh kemenangan dalam semua pertandingan berkenaan.
"Kemenangan besar The Toffees di Goodison Park ini adalah didorong keyakinan tinggi dalam kalangan pemain-pemain apabila melihat kepada karakter mereka semasa berdepan The Seagulls.
"Ya, kami benar-benar gembira untuk permulaan yang positif ini, kami melakukannya dengan sangat baik dalam tempoh ini, memenangi permainan, menunjukkan kualiti yang baik dan semangatnya yang bagus setiap perlawanan.
"Tetapi ini hanya baharu permulaan musim. Sekarang ada rehat bagi perlawanan antarabangsa jadi kita boleh berehat. Namun selepas itu adalah masa yang sibuk dan kita harus kembali dengan semangat dan sikap yang sama," kata Ancelotti.
Everton selepas mengharungi empat perlawanan berjaya mengumpul 12 mata setelah memulakan saingan liga dengan langkah kanan ke atas Crystal Palace, West Brom dan Tottenham Hotspur sebelum ini.
Jaringan Dominic Calvert-Lewin pada minit ke-16' yang juga gol kesembilan musim ini, Yerry Mina (45'), disusuli dua jaringan James Rodriguez meletakkan The Toffees di puncak liga sementara.
Bekas pengendali kelab Serie A, Napoli itu juga memuji keupayaan anak-anak buahnya terutamanya bahagian serangan yang memanfaatkan setiap peluang pada perlawanan berkenaan.
"Secara keseluruhannya kami mempraktikkan corak menyerang yang efektif, kami mencipta peluang dan kami benar-benar klinikal pada set pieces, sangat bagus ketika serangan balas, kami memainkan permainan yang lengkap hari ini.
"Ketika kami bertahan dengan blok di posisi yang baik, kami bertahan dengan baik dan jadi saya gembira," katanya.
Mengenai prestasi semasa penjaga golnya, Jordan Pickford, Ancelotti menegaskan beliau tidak berminat mengulas lanjut mengenai pemain berusia 29 tahun itu.
" Ya Pickford melakukan kesilapan, namun yang paling penting adalah tiga mata diperolehi Everton pada perlawanan ini.
"Lagipun bukan tempat yang tepat untuk mengulas lanjut mengenai Pickford, jika saya harus mengatakan sesuatu kepadanya ketika dia kembali (dari tugas antarabangsa), " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!