Bunuh kenalan wanita kerana cemburu
JITRA - [DIKEMAS KINI] Seorang ejen insurans ditemui maut dipercayai dibunuh rakan lelakinya di rumah sewanya di Taman Mahsuri di sini malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad berkata, mangsa, Siti Nor Sufieza Md Sharif, 23, dipercayai dibunuh kenalan lelakinya yang merupakan peniaga pasar malam berusia 22 tahun kerana cemburu.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian terbabit pada jam 12 tengah malam dan bergegas ke lokasi terbabit.
Beliau berkata, ketika kejadian mangsa yang menyewa di rumah terbabit sejak tiga tahun lalu dikatakan berseorangan di rumah, manakala dua lagi rakan serumah mangsa tiada di lokasi kejadian.
"Ketika rakannya pulang ke rumah kira-kira jam 9.45 malam, dia mendapati mangsa terbaring di bahagian ruang tamu rumah tersebut.
"Tiada sebarang kesan kecederaan ataupun luka ditemui pada tubuh badan mangsa melainkan kesan biru lebam pada badannya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut di dalam rumah juga mendapati tiada barang peribadi milik mangsa yang hilang selain keadaan dalam rumah juga tidak berselerak.
"Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat," katanya.
Sementara itu, seorang jiran yang merupakan pelajar sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di sini berkata, dia merupakan individu pertama yang tiba di rumah terbabit setelah dipanggil oleh rakan serumah mangsa.
"Ketika itu saya sedang berehat di rumah bersama rakan-rakan lain, tiba-tiba rakan mangsa berlari meminta pertolongan mengatakan mangsa tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah.
"Saya bergegas ke sana dan mengangkat mangsa ke dalam kereta untuk dibawa ke hospital.
"Tetapi selepas melihat mulut mangsa berbuih selain badannya yang telah sejuk, kami kemudiannya mengambil keputusan untuk menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!