Remaja buli warga emas direman tiga hari
PASIR PUTEH - Mahkamah Majistret Pasir Puteh hari ini membenarkan empat remaja berusia 15 hingga 18 tahun yang disyaki membuli seorang warga emas direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor ke atas remaja terbabit yang dipercayai membuli warga emas berusia 67 tahun di Banggol Pauh, Bekelam, Bachok Khamis lalu.
Terdahulu kesemua suspek yang memakai baju lokap tiba di perkarangan mahkamah pada jam 9.50 pagi tadi.
Dua daripada remaja terbabit berusia 16 hingga 18 itu merupakan anak sepupu kepada warga emas berkenaan menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok jam 2.30 petang semalam.
Bagaimanapun, dua lagi remaja lelaki berusia 18 dan 15 tahun termasuk perakam video tular itu ditahan selepas menyerah diri pada jam 5.30 petang hari yang sama.
Kelmarin, tular video berdurasi 30 saat di media sosial yang memaparkan sekumpulan remaja lelaki bertindak luar batasan apabila tergamak mengganggu dan membuli seorang wanita warga emas sehingga dia terpaksa melarikan diri.
Ekoran kejadian itu mangsa, Wan Bidah Wan Deraman, 67, dari Kampung Banggol Pauh, Bachok mendakwa mengalami lebam dan sakit pada bahagian lengan selepas dilastik menggunakan batu oleh dua remaja tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!