Taktikal Bielsa sukarkan Guardiola
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola mendedahkan pengurus Leeds United, Marcelo Bielsa memintanya merumuskan hasil pertemuan selepas kedua-dua pasukan melakar keputusan seri 1-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Elland Road.
Menurut pengendali kelahiran Sepanyol berusia 49 tahun itu, pengendali berasal dari Argentina berusia 65 tahun memintanya melihat lebih mendalam corak permainan kedua-dua pasukan.
“Dia bertanya kepada saya apa yang saya fikirkan mengenai permainan kedua-dua pasukan pada perlawanan hari ini.
“Sejujurnya saya berkata saya tidak dapat menganalisis permainan bermula minit awal permainan lagi. Saya tidak dapat memprosesnya,” katanya.
Bagaimanapun, bekas pengendali Bayern Munich dan Barcelona itu mengakui bahawa Leeds adalah kelab yang sukar ditewaskan apatah lagi beraksi di laman sendiri.
“Leeds menimbulkan banyak masalah untuk Manchester City dan selayaknya tuan rumah mendapat satu mata di Elland Road,” katanya.
Pada perlawanan itu, Raheem Sterling meletakkan The Citizens di depan pada minit ke-17 untuk penguasaan aksi babak pertama.
Pada babak kedua Bielsa mengubah taktikal sekali gus menyaksikan The Whites akhirnya kembali ke permainan hasil jaringan Rodrigo memanfaatkan hantaran Ederson pada minit ke-59.
Pada masa sama, Guardiola memuji karakter dipamerkan juara Liga Kejuaraan musim lalu pada penampilan pertama saingan elit liga Inggeris musim ini dalam tempoh 15 tahun.
“Apabila kedua-dua pasukan mahu menyerang, ini adalah permainan yang bagus. Kami membuat 30 minit pertama yang luar biasa apabila kami dapat menjaringkan gol yang kami perlukan.
“Bagi The Citizens dengan situasi semasa yang kita hurungi ini membuktikan bahawa kami mampu mengekang mereka untuk tiga mata," katanya.
Menurutnya, Leeds meletakkan banyak pemain di belakang barisan tengah Manchester City sebelum menyerang dengan pemain pantas di luar.
"Tidak mudah untuk menentang mereka. Mereka menunjukkan betapa berkualitinya mereka. Kami mempunyai peluang untuk membunuh permainan begitu juga pada separuh masa kedua.
“Biarpun kami lebih baik, namun Leeds tetap menyukarkan pemain-pemain Manchester City,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!