NUBE gesa moratorium untuk tiga bulan lagi
SHAH ALAM - Kesatuan Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) menggesa supaya bank melaksanakan semula moratorium keseluruhan sekurang-kurangnya tiga bulan lagi ke atas pinjaman khususnya golongan berpendapatan rendah.
Menurut laporan Free Malaysia Today, Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, selaras dengan itu kerajaan harus segera memperoleh persetujuan bank untuk melaksanakan moratorium keseluruhan itu.
Menurutnya, ini kerana moratorium bersasar yang diperkenalkan mulai bulan ini tidak menangani kesulitan kewangan mereka dalam mengharungi pandemik Covid-19.
"Kerajaan harus segera memperoleh persetujuan bank untuk melaksanakan moratorium keseluruhan untuk sekurang-kuranganya tiga bulan bagi mereka yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah, khususnya B40 dan M40.
“Kemudahan sama harus juga diberikan kepada syarikat yang terus terkesan akibat kemelesetan ekonomi kerana Covid-19,” katanya.
Mengulas lanjut, Solomon berkata, mengambil contoh, ketika ini ramai daripada ahli NUBE mempunyai anggota keluarga yang terkesan kerana hilang pekerjaan atau gaji dipotong, menyebabkan pendapatan isi keluarga merosot dan menambah kesulitan kewangan, khususnya kemampuan untuk membayar pinjaman bank.
“Situasi ini bukan sahaja melibatkan ahli NUBE tetapi ratusan ribu keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara.
“Kehilangan pekerjaan atau pemotongan gaji walau seorang ahli keluarga menjejaskan pendapatan seluruh isi keluarga dan memberi tekanan tambahan terhadap kemampuan mereka untuk membayar pinjaman perumahan, kenderaan dan pinjaman peribadi oleh bank,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!