Politik permuafakatan jalan terbaik
PADA 14 September 2020, genap setahun berlangsungnya penyatuan ummah antara UMNO dan Pas yang juga dikenali sebagai Muafakat Nasional (MN).
Satu detik penyatuan yang tidak pernah terfikir akan berlaku antara dua parti yang cukup lama bersengketa dan beradu di pentas politik pilihan raya. Satu pertembungan klasik yang akan sentiasa diingati sebagai antara titik hitam dalam lipatan sejarah politik negara.
Masih jelas di hati dan memori penulis melihat puluhan ribu umat berpakaian putih turun membanjiri Dewan Merdeka, PWTC Kuala Lumpur. Tangisan air mata dan lidah berselawat ke atas Rasulullah SAW serta menadah tangan untuk berdoa kepada ALLAH SWT agar penyatuan ini dilindungi dan dirahmati-Nya.
Kini kedua-dua duduk bersama dalam satu saf perjuangan, dalam satu kerajaan dan Kabinet pentadbiran yang sama pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.
MN tidak berlangsung secara 'adhoc' atau diwujudkan kerana faktor percaturan politik dan pembahagian kerusi pilihan raya semata-mata, bahkan melampaui daripada itu, MN diwujudkan bagi menoktahkan perbalahan puluhan tahun yang jelas membinasa perpaduan ummah di Malaysia.
Tidak dinafikan ada suara nakal yang mengatakan MN diwujudkan hanya untuk menyelamatkan UMNO yang tersepit daripada kekalahan. Namun, memandang jauh ke hadapan, MN tidak berkisar hanya pada untung rugi pilihan raya mahu pun perkongsian kuasa tetapi ia adalah satu ikatan penyatuan yang dibina di atas asas keimanan, semangat penyatuan, landasan kesetiaan dan ikatan persahabatan.
Mengimbau tahun-tahun ke belakang, terlalu banyak yang boleh dipelajari dan diambil iktibar daripada kejayaan MN ini. Ini termasuklah perih jerih yang dihadapi ketika MN berada di barisan pembangkang dan selepas berlakunya perubahan kerajaan di Putrajaya.
Kejayaan paling manis yang dikecapi MN adalah kerjasama erat yang dibentuk pada setiap siri pilihan raya kecil (PRK) yang menyaksikan calon-calon MN mencapai kejayaan demi kejayaan.
Komitmen
Satu ucapan penghargaan wajar diberikan kepada semua jentera akar umbi kedua parti yang sememangnya bekerja keras dan memberikan komitmen tinggi kepada setiap gerak kerja yang diatur.
Platform MN perlu terus diperkasa dan diperkukuh. Sedikit sebanyak halangan, ujian dan dugaan yang melanda perlu diselesaikan secara berhikmah dan bijaksana.
Sejak dimeterai Piagam Muafakat Nasional setahun yang lepas, kita melihat usaha pengharmonian kerjasama di peringkat akar umbi yakni di negeri dan bahagian-bahagian mula rancak dilaksanakan. Mesyuarat dan pertemuan penyelarasan program dan persediaan jentera PRU berjalan dengan aktif dan membanggakan.
Oleh yang demikian MN tidak boleh menjadi platform sementara semata-mata tetapi perlu menjadi platform kekal penyatuan ummah. Dalam kata lain, MN adalah milik semua, hatta di akar umbi atau pucuk pimpinan, yang mencintai perpaduan dan penyatuan serta kerjasama bagi kebaikan ummah.
Jangan kita berbalah dan bersengketa hanya kerana isu yang tidak mendatangkan manfaat kepada kepentingan dan ummah seluruhnya. Apa sahaja pertikaian kita perlu selesaikan di meja rundingan dan bersama-sama bermuafakat mencari titik persamaan sekali gus menolak politik perpecahan dalam kalangan pimpinan, ahli dan pendokong setiap parti.
Justeru, Pemuda UMNO Malaysia menyeru kepada pimpinan kedua-dua parti agar jangan sekali kali mempersiakan harapan ummah yang diletakkan kepada platform MN.
Politik permuafakatan adalah jalan terbaik bagi membina semula Malaysia yang telah dipesongkan oleh kerajaan Pakatan Harapan dahulu. Sesungguhnya muafakat yang telah terjalin ini sangat mahal harganya untuk dibiarkan begitu sahaja.
* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!