Bila Melayu kembali bangkit
NAMA Malaysia terlahir dengan kemasukan Singapura, Sabah dan Sarawak ke dalam gabungan negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu. ‘Sia’ bermaksud kejayaan dalam bahasa Sweden, ‘zia’ atau ‘sinar’ dalam bahasa Arab, ‘bangkit’ dalam bahasa Roman atau ‘penyatuan’ dalam bahasa Hebrew.
Maknanya, Malaysia membawa makna Melayu yang berjaya, Melayu yang bersinar, Melayu bangkit atau Melayu yang bersatu. Makna dan erti inilah yang kian kita lupakan. Kebiasaan kita untuk melihat sesuatu itu secara lahiriah itu tanpa melihat dan mendalami sesuatu itu menjadikan kita manusia dangkal fikiran.
Rata-rata kita memahami Melayu melalui buku-buku sejarah di sekolah. Oleh kerana subjek sejarah itu pula hanyalah untuk lulus periksa maka subjek itu dilihat dari sudut maklumat hafalan semata-mata. Kerana itulah kita lihat sejarah Melayu itu hanya berkisar kisah dan cerita tokoh dan pahlawan Melayu secara sekali lalu.
Nama-nama manusia yang kita lebih ingat ialah nama-nama penjajah. Dalam benak kita sudah terlekat nama Alfonso de Albuquerque, Lopez de Squiera, Frank Swettenham, Hugh Clifford, JWW Birch dan Stamford Raffles. Nama Mat Kilau, Dato Bahaman, Tok Kenali, Datuk Maharajalela sudah kita ingat-ingat lupa.
Penjajah benar-benar telah memasak fikiran kita untuk mengingati kelompok mereka daripada nama-nama para pejuang bangsa kita. Apatah lagi bila kita mempercayai bulat-bulat tulisan Frank Swettenham dalam bukunya Malay Sketches yang mengumpamakan bahawa orang Melayu itu adalah bangsa pemalas.
Sikap pemalas itu sendiri adalah sikap yang ada pada mana-mana bangsa. Begitu juga, sikap rajin, cerdik, bertanggungjawab dan amanah juga ada pada mana-mana bangsa. Sikap-sikap positif ini juga terdapat pada bangsa Melayu, Cuma ia tidak disebut oleh penjajah sehinggakan kita menelan bulat-bulat silibus sejarah. Kita tidak tahu bahawa bangsa Melayu itu adalah satu bangsa yang agung dan hebat menguasai seluruh Nusantara ini.
Warisan
Kita lemah untuk mewariskan sejarah yang benar kepada anak cucu sampaikan ada pihak yang berani berkata yang Hang Tuah itu mitos! Begitu kosongnya jiwa orang Melayu akibat terputus DNA sejarah daripada minda hingga mereka hilang semangat dan malu mengaku Melayu.
Kita tentu masih ingat beberapa tahun yang lalu betapa celuparnya pihak yang memperlekeh Melayu sampai boleh mengancam seorang pemimpin Melayu yang mencium keris sebagai istiadat dalam sebuah majlis orang Melayu. Akibat dikritik kononnya mencium keris itu menggambarkan keganasan, pemimpin Melayu itu tunduk dan memohon maaf.
Malangnya, tiada seorang Melayu pun yang bangun membantah untuk memperbetulkan keadaan bahawa mencium keris itu adalah simbol mencintai budaya bangsa. Ketika itu tidak ada seorang Melayu pun yang membantah tindakan itu secara berdepan. Sebab apa? Sebab Melayu pada ketika itu begitu menghormati pemimpin. Pada ketika itu, orang Melayu amat menghormati dan menjunjung pemimpin politik mereka.
Masa berlalu. Kekalahan kepimpinan Melayu dalam berpolitik dan perangai mabuk mereka berebut kerusi hingga ke saat ini telah membuka mata orang Melayu bahawa mereka tidak boleh lagi bergantung semata-mata dengan pemimpin politik mereka. Di luar gelanggang politik, di medan juang yang berpadang luas terbentang, kian ramai orang Melayu tidak peduli apa yang kabilah-kabilah politik lakukan.
Mereka menelusuri akar umbi sejarah dan membongkar segala kisah kehebatan bangsa dan menemui banyak kisah kehebatan bangsa Melayu yang tersimpan dan tersembunyi di khazanah peliharaan penjajah. Semua ini telah dibuku dan menjadi rujukan terkini khalayak Melayu. Pada hari ini muncul sedemikian banyak kumpulan-kumpulan pengkaji sejarah Melayu, aktivis kemanusiaan, sosial, agama dan ekonomi. Orang Melayu sudah bangkit dan bersedia membela bangsanya sendiri.
Setelah bertahun-tahun orang Melayu malu mengaku Melayu, kini semakin ramai orang Melayu berani tampil memanifestasikan kehadiran mereka.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!