SOP tidak patut 'pilih bulu'

A
A
A

TINDAKAN tegas perlu diambil bagi mengawal dan mengekang penularan Covid-19 daripada terus berulang.

Kerajaan perlu mengambil tindakan dengan memantau dan memastikan mereka yang baru pulang dari Sabah agar menjalani kuarantin kendiri di rumah dalam tempoh 14 hari tanpa kompromi. Arahan tegas ini perlu dikuatkuasakan kepada mana-mana individu tanpa mengira pangkat dan darjat.

Insiden beberapa hari lalu akibat bawaan penyakit itu yang dikatakan berpunca daripada seorang guru wanita yang dijangkiti positif Covid-19 menyebabkan sebuah sekolah di Pulau Pinang diarah tutup selama lapan hari.

Ini berikutan seorang guru wanita berusia 40-an disahkan positif Covid-19. Guru berkenaan dilaporkan tidak sihat ketika di sekolah sebelum dia pergi mendapatkan rawatan di hospital di Kedah.

Sebenarnya guru wanita itu adalah isteri kepada seorang ahli politik di Kedah yang pergi berkempen di Sabah ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini

Akibatnya seramai lebih 600 orang murid terpaksa membuat ujian saringan Covid-19 yang mencemaskan ibu bapa dan masyarakat setempat.

Beberapa kes yang meningkat sehingga menjadi tiga digit kes baharu Covid-19 sejak akhir-akhir ini berkaitan dengan mereka yang baru pulang dari Sabah. Walaupun menjalani saringan di KLIA namun didakwa gagal melakukan kuarantin kendiri di rumah.

Rata-rata masyarakat kecewa dengan tindakan pemimpin dan mereka yang baru pulang dari Sabah kerana kempen PRN yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Angka positif Covid-19 terus meningkat ketika parti-parti di negeri itu sedang rancak berkempen untuk memenangi PRN Sabah.

Keadaan ini sebenarnya mengundang padah apabila sebahagian daripada petugas kempen yang tidak memegang prinsip ‘Kita Jaga Kita’ yang sepatutnya menjadi amalan normal baharu. Akibatnya beberapa pemimpin politik turut dijangkiti Covid-19 dan banyak kluster baharu dikenal pasti daripada individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Sebenarnya isu ketidakpatuhan SOP melibatkan semua bukan sahaja kepada mereka yang berkempen tetapi termasuk masyarakat dan petugas kesihatan.

Semasa berkempen secara tidak sedar mereka berada dalam keadaan sesak, tidak menjarakkan fizikal dan ramai pula yang bersalaman untuk mendapatkan sokongan semasa mengundi.

Episod ketidakpatuhan SOP dalam kalangan pemimpin itu jangan dipandang ringan oleh pihak berkuasa. Jika ingin menjadikan SOP itu berjaya dan dipatuhi, sepatutnya tiada istilah ‘pilih bulu’ atau ‘pilih kasih’. Kita perlu tegas dan serius.

Keadaan ini cukup membimbangkan apabila pemimpin yang sepatutnya diteladani dan dicontohi tidak mematuhi arahan SOP yang menyebabkan kes jangkitan baharu terus meningkat.

Langgar

Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengulangi penegasan hukuman boleh dikenakan ke atas individu yang melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah bagi Covid-19, namun ramai juga pemimpin dan orang ternama yang terlepas.

Sepatutnya semua individu yang pulang dari Sabah wajib menjalani kuarantin di tempat kediaman masing-masing selama 14 hari.

Pejabat Kesihatan Daerah bersama agensi lain yang berkenaan sudah pun diberi kuasa untuk mencari dan mengambil tindakan ke atas individu yang didapati melanggar syarat di bawah perintah ini. Mereka yang bersalah boleh dikenakan denda atau dipenjarakan atau kedua-duanya.

Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melihat kembali SOP berkempen agar gejala ketidakpatuhan SOP tidak berulang. Apatah lagi jika Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan dalam masa terdekat, SOP yang lebih jelas dan stabil amat perlu diperkenalkan.

Namun, apa yang lebih penting adalah semua pihak di semua peringkat perlu mematuhi peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan agar penularan wabak Covid-19 dapat dikawal.

Selagi belum ditemui vaksin Covid-19, selagi itulah kita perlu bertindak sebagai frontliners yang akan sentiasa menjalani kehidupan normal baharu yang serba mencabar.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!