Pengalaman Nafiizwan mampu pacu arena skuasy negara
PELANTIKAN bekas pemain skuasy lelaki nombor satu negara Mohd Nafiizwan Adnan sebagai jurulatih kebangsaan dilihat mampu membantu meningkatkan lagi sukan itu di negara ini.
Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Gerard Monteiro berkata, kemahiran dan pengalaman yang ada pada bekas pemain berusia 34 tahun itu dapat diperturunkan kepada pemain muda sekali gus memperkasakan lagi sukan skuasy negara.
“Pengalaman dan kemahiran Nafiizwan mampu membantu pemain negara berada pada prestasi terbaik.
"Ini adalah terbaik kerana bekas pemain terbaik negara kembali untuk membantu pemain-pemain muda negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada sambutan Hari Skuasy Sedunia 2020 peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Presiden Persatuan Skuasy Negeri Sembilan (PSNS), Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz.
Gerard sebelum ini mengesahkan Mohd Nafiizwan akhirnya menerima lamaran SRAM untuk menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih kebangsaan, selepas menolak jawatan itu tahun lalu.
Perkara berkenaan diputuskan selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif SRAM yang pertama pada 27 September lalu dan pelantikan bekas pemenang pingat gangsa di Sukan Komanwel 2018 itu menggunakan dana persatuan.
Mohd Nafiizwan ketika ditemui berkata misi utamanya sebagai jurulatih negara adalah membentuk tahap profesionalisme dalam kalangan pemain sama ada pemain muda mahupun senior.
"Sasaran saya adalah hendak tukar sedikit dari segi profesionalisme bagi seseorang atlet sebab ia dapat membentuk seorang atlet yang berjaya.
"Kalau pemain itu tidak mengikut kriteria tertentu, untuk menjadi seorang atlet terbaik dunia agak susah," katanya.
Sementara itu, Tunku Zain berkata, sambutan Hari Skuasy Sedunia 2020 yang julung kali diadakan di negeri itu bertujuan mempromosikan sukan skuasy dan menarik minat golongan muda menyertai sukan berkenaan dalam usaha melahirkan pemain pelapis.
Seramai 10 peserta terdiri daripada ahli PSNS yang pernah menyertai kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa menyertai program berkenaan termasuklah johan Skuasy Junior Terbuka Britain 2020 bawah 11 tahun, Harleein Tan dan johan Skuasy Junior Terbuka Britain 2019 bawah 15 tahun, C Ameeshenraj. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!