Disangka batu, rupanya ular...
BALING - Seorang lelaki yang menyangka bilah mesin rumputnya terkena batu terkejut apabila mendapati ia sebenarnya seekor ular sawa sepanjang 6.3 meter, di sini petang tadi.
Ketua Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia Daerah Baling, Lt (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, lelaki berusia 40-an itu sedang memotong rumput di ladang kelapa sawit.
Menurutnya, dia yang terkejut dengan penemuan ular seberat 80 kilogram itu segera menghubungi Angkatan Pertahan Awam (APM) Malaysia daerah Baling.
"Pihak kami menerima panggilan pada 6.20 petang sebelum bergegas ke lokasi. Ular itu agresif ketika ditangkap kerana berada di rimbunan rumput agak panjang.
"Pihak APM dengan kekuatan empat anggota termasuk dua wanita mengambil masa 30 minit untuk menangkap reptilia tersebut," katanya.
Beliau berkata, ular berkenaan dibawa ke pejabat APM Baling untuk tindakan seterusnya.
Katanya, orang awam dinasihatkan supaya berhati-hati dengan keadaan sekeliling dan menghubungi APM Baling di talian 04-4701626 jika ada kecemasan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!