Harimau Selatan sukar digugat
Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan dominasi mereka dalam saingan liga di negara ini apabila muncul juara CIMB Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut, kelmarin.
Di sebalik kejayaan membanggakan gergasi Liga Super itu, peminat bola sepak di negara ini sudah tentu masih menantikan pasukan yang mampu menghentikan dominasi Harimau Selatan itu.
Bagi bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali mengakui harapan peminat bola sepak negara yang mahu melihat ada pasukan yang mampu menjadi pencabar yang dapat mencabar JDT, namun mengakui sukar memandangkan kelab itu sudah berada jauh di hadapan dan 'hidup' di peringkat yang berbeza.
Malah, beliau juga melihat sikap tidak profesional setiap pasukan walaupun selepas diswastakan akan menjadikan saingan Liga Malaysia (Liga-M) tetap berwajah sama dan tiada pasukan yang mampu mencabar JDT dalam waktu terdekat.
"Sangat sukar untuk melihat ada pencabar JDT dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Saya berani cakap JDT akan menjadi juara untuk tempoh 10 tahun lagi tanpa ada pencabar langsung. Tahap JDT dah sangat berbeza dan mereka dah bertaraf pencabar di peringkat Asia.
"Walaupun semua pasukan sudah diswastakan, namun saya melihat kesemua pasukan ini masih bergantung dengan persatuan. Jadi ia tiada beza. Contoh penswastaan yang betul adalah seperti JDT yang tiada langsung campur tangan dengan persatuan.
"Kalau nak melihat ada pasukan yang menjadi pencabar, setiap pasukan dan persatuan itu perlu mengubah mentaliti dan betul-betul menjadi sebuah pasukan yang bergerak tanpa ada kaitan dengan persatuan (FA). FA ini dah jadi sejarah," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Dalam masa sama, kata Khalid, untuk menjadi pencabar JDT, setiap pasukan juga perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk mendapatkan pemain yang berkualiti dan menyediakan fasiliti yang terbaik.
"Saya jangkakan ada beberapa pasukan sahaja yang akan menjadi sebuah pasukan yang betul-betul diswastakan seperti Kelantan dan Pahang. Pasukan lain masih lagi bermasalah sebab kebanyakan FA itu masih ada saham dalam kelab bola sepak (FC).
"Lagipun, untuk mencabar JDT, mereka memerlukan dana yang banyak. Saya tidak nampak ada pasukan yang mampu keluarkan duit berpuluh juta untuk menjadi seperti JDT dalam masa terdekat.
"Jadi, kita akan menyaksikan JDT terus mendominasi saingan Liga Super sehinggalah ada pasukan yang sanggup berubah dari segi pengurusan dan membelanjakan dana yang besar untuk meningkatkan kualiti pasukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!