Istana Negara pandang serius berita palsu babitkan Agong
KUALA LUMPUR - Istana Negara memantau dan memandang serius kenyataan tidak benar beberapa individu kepada media, yang menggunakan nama dan gambar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, serta Istana Negara melalui aplikasi WhatsApp.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Istana Negara memandang serius perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama atau membabitkan Seri Paduka dan Istana Negara, untuk menyebar berita palsu sama ada bagi kepentingan politik atau peribadi.
“Tindakan yang tidak bertanggungjawab sedemikian bukan sahaja mencemarkan kredibiliti KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara, malah boleh menimbulkan kegusaran rakyat serta menggugat ketenteraman dalam negara dari pelbagai sudut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Fadil berkata, Istana Negara tidak akan teragak-agak melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tindakan lanjut, di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 jika perlu.
Dalam pada masa sama, Istana Negara menyeru rakyat agar tidak mudah panik dan percaya dengan berita palsu yang tersebar.
“Istana Negara menyarankan agar berita-berita palsu ini tidak dikongsi bersama, untuk mengelakkan tindakan oleh pihak PDRM juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” tegas Datuk Pengelola Bijaya Diraja. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!