Ahli Geng Mail curi kabel tumpas
KULIM - Enam ahli Geng Mail yang aktif melakukan kegiatan curi kabel sekitar Kulim sejak tiga tahun lalu tumpas selepas diberkas sekitar Padang Serai membabitkan beberapa tangkapan berasingan sejak kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulim Superintenden Azhar Hashim berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 53 tahun.
Menurutnya, Sabtu lalu anggota dari Balai Polis Sungai Karangan yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan perumahan Ladang Padang Meiha ternampak sekumpulan lelaki sedang memotong kabel dari bawah tanah.
"Menyedari kehadiran polis, mereka melarikan diri tetapi salah seorang daripadanya berusia 41 tahun berjaya ditahan," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di sini hari ini.
Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulim melakukan tiga serbuan berasingan dan menahan lima individu lain termasuk seorang pembeli.
Katanya, polis turut merampas lapan kabel yang terdapat kesan terbakar berukuran antara 5 hingga 14 meter, dua bilah parang, bateri, lampu sorot, mesin gergaji dan bekas plastik.
'Kumpulan ini dipercayai terlibat dalam lebih 10 kes curi kabel sekitar daerah ini dan hasil jualan digunakan untuk membeli dadah jenis syabu.
"Difahamkan, kabel akan dijual antara 40 hingga 50 kilogram setiap kali curi kabel dan menganggarkan memperoleh wang tunai sekitar RM700 hingga RM900," katanya.
Azhar memberitahu, kesemua suspek mempunyai antara dua hingga lima rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Perintah tahanan reman dibenarkan selama empat hari bermula 4 hingga 7 Oktober 2020 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 431 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!