Pesara guru terjerat cinta siber ‘mek salleh’
KOTA BHARU - Bahana bermain cinta di alam siber dengan individu mengaku sebagai ‘mek salleh’ dari England menjerat seorang pesara guru lelaki hingga rugi RM10,400 membabitkan kegiatan jenayah sindiket Love Scam.
Mangsa berusia 60 tahun berkenalan dengan suspek wanita itu menerusi laman Facebook pada pertengahan bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, dua bulan lalu, anak mangsa memuat naik status di laman sosial untuk mendapatkan sumbangan orang ramai bagi membeli sebuah mesin mencuci buah pinggang dan membiayai kos rawatan penyakit dihidapi mangsa yang mencecah RM100,000.
Menurutnya, mangsa kemudian berkenalan dengan seorang wanita di Facebook yang mengaku berasal dari England dan kononnya menetap di Amerika Syarikat (AS).
“Wanita itu mendakwa bekerja dengan sebuah syarikat minyak antarabangsa yang terkenal dan menyatakan kesudian memberi sumbangan wang kepada mangsa yang berstatus suami orang.
“Pada 21 September lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai bank tempatan di ibu negara menyatakan ingin membuat pengesahan berkaitan transaksi pindahan wang oleh kenalan wanita berkenaan dari sebuah bank luar negara ke akaun bank mangsa,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa diminta membuat bayaran kos pertukaran mata wang daripada dollar AS ke Ringgit Malaysia ke satu akaun bank tempatan milik individu pihak ketiga yang didakwa sebagai ejen kepada bank luar negara di Malaysia.
“Mangsa kemudian membuat beberapa kali bayaran berjumlah RM10,400 ke akaun bank yang diberikan suspek dan hanya tersedar ditipu setelah suspek masih lagi meminta bayaran.
“Mangsa mengesyaki wang RM100,000 bantuan kewangan tersebut juga tidak wujud dan bertindak membuat laporan polis kelmarin,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Azizul menegaskan Love Scam atau Parcel Scam adalah antara kes jenayah siber yang kerap dilaporkan.
“Sehubungan itu, Polis Kelantan ingin menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya dan mengikut arahan yang diberikan oleh individu-individu yang hanya berhubung secara dalam talian sahaja.
“Dapatkan nasihat daripada pihak berkuasa sekiranya mendapat panggilan yang meragukan terutama yang meminta bayaran atau maklumat kewangan mahupun akaun bank,” katanya.
Katanya, polis mempercayai kes tersebut adalah penipuan bantuan perubatan menggunakan modus operandi jenayah Love Scam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara selama tempoh minimum setahun manakala maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!