Saran JPN, PPD diberi kuasa tutup sekolah jika ada kes Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berharap kuasa untuk membuat pertimbangan di luar kebiasaan seperti menutup sesi persekolahan secara fizikal diberikan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sekiranya terdapat kes Covid-19 yang melibatkan murid atau guru.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, pertimbangan sama juga harus diberikan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pentadbiran sekolah sendiri supaya tindakan pantas dapat diputuskan yang membabitkan penutupan operasi institusi itu.

Beliau berkata, walaupun arahan penutupan sesebuah sekolah akibat Covid-19 dibuat atas saranan serta nasihat Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan namun JPN, PPD dan sekolah itu sendiri lebih maklum situasi sebenar termasuk keseriusan institusi tersebut berdepan ancaman Covid-19.

"Sebelum ini kita selalu mengambil pendekatan tunggu dan lihat yang kebiasaannya lambat untuk membuat keputusan sedangkan kita harus tahu menguruskan murid di sekolah ini tidak sama dengan orang dewasa, jadi tindakan pantas harus dilaksanakan.

"Apatah lagi jika keadaan itu sudah jelas menampakkan ketidakselesaan dalam kalangan murid dan juga guru maka keputusan segera harus dibuat, " katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku Model Persekolahan Penjarakan Fizikal dan Model Pedagogi Penjarakan Fizikal Pandemik Covid-19 di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan mengenai 100 murid di Ampang yang diarahkan menjalani ujian swab Covid-19 di klinik kesihatan selepas seorang guru disahkan positif pandemik itu.

Bagaimanapun, difahamkan sesi persekolahan tetap berjalan seperti biasa kerana tiada arahan penutupan sekolah dikeluarkan JPN.

Ditanya sama ada aktiviti sukan dan kokurikulum perlu dihentikan buat sementara waktu susulan terdapat kes Covid-19 di sekolah, beliau berkata, pihak institusi itu sepatutnya diberikan kelonggaran untuk tidak meneruskan aktiviti tersebut jika berdepan risiko jangkitan tanpa dikenakan tindakan.

Artikel Berkaitan:

Aminuddin berkata, NUTP dimaklumkan terdapat aduan daripada pihak sekolah yang diarah mengemukakan surat tunjuk sebab berikutan kegagalan menganjurkan aktiviti itu selaras dengan garis panduan pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum yang dikeluarkan KPM sebelum ini.

"Walaupun ia kes terpencil namun pihak sekolah seharusnya ada pilihan, jika didapati berisiko boleh untuk tidak membuat aktiviti itu... kitapun faham aktiviti ini penting juga untuk menarik kedatangan murid ke sekolah, " katanya.- Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 432 kes positif Covid-19 hari ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!