Tempoh kuarantin dipandang remeh, MP Batu luah rasa terkilan

P Prabakaran
P Prabakaran
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran meluahkan rasa terkilan selepas tempoh kuarantin dipandang remeh oleh kelompok pemimpin.

Prabakaran berkata demikian susulan pengesahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif pandemik koronavirus (Covid-19) hari ini.

Beliau menerusi satu kenyataan hari ini, memaklumkan yang Zulkifli telah hadir ke Pelancaran Pondok Moden Permata Iman di Perumahan Awam Sri Perak pada 4 Oktober ketika waktu kuarantin.

"Hari ini beliau disahkan positif Covid-19," katanya.

Katanya, situasi tersebut kerap berlaku kebelakangan ini melibatkan pemimpin yang melanggar tempoh kuarantin diberikan.

"Mengapakah tempoh kuarantin ini seolah-olah hanya harus dipatuhi oleh orang awam manakala pimpinan lain boleh melanggari tempoh waktu kuarantin yang telah ditetapkan oleh pihak kesihatan?

"Perkara seperti itu sering kali berlaku kebalakangan ini, pun begitu pimpinan negara kekal rakus melanggar tempoh kuarantin yang diberikan," katanya.

Beliau seterusnya memohon penduduk di Perumahan Awam Sri Perak dan yang mempunyai hubungan rapat untuk menjalani saringan Covid-19 dan menjalankan kuarantin sendiri di rumah masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Ramai warga Sri Perak termasuk kanak-kanak berada dalam majlis tersebut dan kekhilafan seperti ini seharusnya tidak dilakukan oleh seorang pemimpin yang bergelar menteri.

"Saya mendoakan kesejahteraan buat semua," katanya.

Terdahulu, Zulkifli menerusi Facebook miliknya membuat pengesahan dirinya positif Covid-19 dan sedang menjalani rawatan.

Beliau memohon orang ramai yang menghadiri majlis yang melibatkan kehadirannya dari 24 September hingga 4 Oktober lalu untuk menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera.

ARTIKEL BERKAITAN: Zulkifli sah positif Covid-19

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!