LRA Sungai Semenyih, Bukit Tampoi belum beroperasi
KUALA LUMPUR - Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi masih belum beroperasi setakat jam 7 malam ini susulan ujian persampelan di kedua-dua loji belum berada pada tahap sifar ton.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, tahap pencemaran di muka sauk LRA Sungai Semenyih berada pada tahap 2 ton sementara LRA Bukit Tampoi adalah 9 ton.
"LRA hanya boleh beroperasi apabila tahap pencemaran pada tahap sifar ton sebanyak tiga kali berturut-turut semasa ujian persempelan air mentah dilakukan," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Elina berkata, Air Selangor telah menggerakkan 79 lori tangki air ke premis kritikal, sekolah serta kawasan perumahan terjejas.
"Sebanyak 20 tangki statik, 10 stesen pengisian setempat, sembilan Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan 13 pili awam turut disediakan bagi kemudahan pengguna mendapatkan bekalan air," katanya.
Katanya lagi, Air Selangor akan mengemas kini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual itu di medium komunikasi termasuk media sosial Twitter, Facebook serta Instagram dari masa ke masa.
Semalam, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya susulan insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke dua loji berkenaan.
Henti tugas loji itu menyebabkan 274 kawasan terjejas dengan 309,687 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan empat wilayah iaitu Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.
ARTIKEL BERKAITAN: Empat daerah berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!