Pelajar Yahudi cedera diserang di Jerman
BERLIN - Seorang pelajar Yahudi cedera semalam selepas diserang seorang lelaki menggunakan penyodok di luar sebuah rumah ibadat agama itu di bandar Hamburg, utara Jerman, kata polis.
Pelajar wanita yang berusia 26 tahun itu dipukul berulang kali di kepala ketika dia mahu memasuki rumah ibadat tersebut dalam satu serangan yang dikutuk Menteri Luar, Haiko Maas sebagai 'anti-semitik menjijikkan'.
Polis kemudian ditugaskan untuk melindungi rumah ibadat tersebut dan menangkap lelaki berusia 29 tahun itu yang memakai pakaian seragam mirip tentera Jerman.
Menurut laporan agensi berita DPA, anggota-anggota polis menemui sehelai kertas yang mengandungi lambang Nazi iaitu swastika di dalam poketnya.
Wanita itu berjaya melarikan diri daripada penyerangnya dan diberikan bantuan perubatan kecemasan oleh pejalan kaki sebelum dia dihantar ke hospital, kata agensi tersebut.
Seorang jurucakap polis yang dipetik berkata, suspek iaitu seorang warga Jerman kelahiran Kazakhstan dilihat mengalami kecelaruan minda menyebabkan soal siasatnya menjadi sukar.
Pemimpin Kongres Yahudi Sedunia, Ronald Lauder mengutuk serangan itu dengan menyatakan kejadian tersebut berlaku setahun selepas dua orang mati ditembak seorang pelampau yang cuba menyerbu sebuah rumah ibadat di bandar Halle, timur Jerman.
Presiden Persidangan Rabi-Rabi Ortodoks Jerman, Avichal Apel menggambarkan serangan itu sebagai kejutan terbaharu untuk komuniti di Jerman.
Jenayah anti-semitik telah meningkat di Jerman dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini dengan mencatatkan 2,032 kesalahan iaitu naik 13 peratus berbanding pada tahun 2018. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!