Berkempen sana-sini, virus tetap menang
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah sudah melabuhkan tirai. Sepanjang tempoh berkempen selama 14 hari, semua parti dan calon-calon bebas menemui ramai pengundi dan berceramah di kawasan-kawasan tumpuan ramai.
Malangnya, setelah semua anggota jentera kempen pulang ke negeri masing-masing, mereka pulang bersama virus yang paling menakutkan ketika ini iaitu koronavirus (Covid-19).
Kini, seluruh negara diselubungi kebimbangan gara-gara PRN Sabah. Akibatnya, sudah ada yang menuding jari antara satu sama lain.
Kata BN, kalau Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibubarkan, sudah tentu virus itu tidak dapat merebak dengan meluas.
Selepas PRN, satu lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) juga mungkin akan diadakan sekali lagi di Sabah berikutan kematian Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Viu Keong, 60, pada Jumaat lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Apakah kerusi Batu Sapi tidak akan dipertandingkan? Soalan itu eloklah difikirkan semasak-masaknya. Nyawa sebenarnya jauh lebih bernilai daripada satu kerusi Parlimen.
Kenapa aktiviti keagamaan perlu dihentikan, sekolah perlu ditutup dan bermacam majlis terpaksa dibatalkan, tetapi pilihan raya diteruskan juga?
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump disahkan dijangkiti Covid-19. Rakyat Amerika Syarikat kini tertanya-tanya tahap kesihatannya sedangkan bulan depan pilihan raya memilih Presiden akan diadakan.
Virus korona sesungguhnya jauh lebih bijak daripada manusia. Tetapi kenapa manusia masih begitu degil mahu mengadakan pilihan raya?
Dalam pilihan raya, manusia berlawan sesama sendiri. Ada yang menang, ada yang kalah. Tetapi bila lawan dengan Covid-19, manusia tetap buntu. Tak tahu macam mana nak kalahkannya.
Selepas lebih 10 bulan, Covid-19 ini masih menakluki seluruh dunia dengan penuh bergaya!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!