Covid-19, suasana politik gugat impian wawasan
TAHUN 2020 memberikan cabaran cukup besar kepada seluruh dunia setelah wabak Covid-19 mula melanda Wuhan, China.
Malaysia tidak terlepas daripada menerima ancaman virus berkenaan. Selain Covid-19, rakyat di negara kita turut rasa tidak selesa menghadapi situasi politik yang kurang stabil.
Dengan usaha yang telah dan akan dilakukan oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mampukah Malaysia kembali bangkit mencergaskan pertumbuhan ekonomi yang tenat serta memastikan suasana politik menjadi lebih tenang dan tenteram?
Penularan Covid-19 kembali serius di negara kita sejak akhir-akhir ini dan ia menimbulkan rasa panik dalam kalangan rakyat yang mempercayai kerajaan akan kembali melaksanakan tindakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan lebih tegas.
Pada minggu lalu, Muhyiddin mengakui ekonomi Malaysia menerima kesan akibat wabak Covid-19 dan kini sedang dalam proses pemulihan.
Untuk itu, kata Perdana Menteri, pelaksanaan inisiatif di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang digubal pada peringkat awal mungkin perlu diteliti semula dengan mengambil kira kesan wabak berkenaan.
WKB 2030 diumumkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan dan adalah hala tuju ekonomi negara bagi tempoh 10 tahun bermula 2021-2030.
Inisiatif Pakej Rangsangan Eknomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) adalah dua strategi yang diwujudkan kerajaan bagi mengurangkan kesan wabak tersebut terhadap rakyat dalam soal ekonomi.
Semua itu diusahakan secara bersungguh-sungguh oleh kerajaan agar memastikan nasib rakyat dapat dibela, ekonomi dapat tumbuh seperti yang dirancang ketika Covid-19 masih merebak secara meluas.
Wawasan 2020 yang diilhamkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad gagal memenuhi impian kita semua. Oleh itu, bagi mengelakkan sejarah berulang, WKB2030 kini menjadi hala tuju untuk kita untuk bekerja lebih keras.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!