Bomba Negeri Sembilan tumpu 80 premis
NILAI - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan menyasarkan 80 premis diperiksa menerusi pemeriksaan keselamatan kebakaran ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, pemeriksaan itu akan dilakukan dari 26 Januari hingga 26 Februari ini melibatkan hotel, rumah tumpangan dan dewan.
"Pemeriksaan ini meliputi tahap keberkesanan sistem pencegahan kebakaran, laluan kecemasan, lampu penunjuk arah laluan dan penggera keselamatan.
"Kita akan menggerakkan anggota melibatkan empat zon iaitu Ibu Pejabat Bomba Negeri Sembilan, Seremban, Port Dickson dan Jempol untuk memastikan sistem keselamatan kebakaran lokasi tumpuan ini berada dalam keadaan selamat dan baik," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Pelancaran Pemeriksaan Bangunan sempena Tahun Baharu Cina di sini, semalam.
Norazam berkata, 359 premis juga dikenal pasti perlu mendapatkan sijil perakuan bomba untuk beroperasi tahun lalu membabitkan pasar raya, kilang, hotel, rumah ibadat, sekolah dan bangunan kerajaan.
"Pemilik premis yang gagal mendapatkan perakuan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 33 Akta 341 (Akta Perkhidmatan Bomba 1988) yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun.
"Antara premis yang perlu mendapatkan perakuan adalah bangunan berkeluasan 2,001 meter persegi, pejabat seluas 10,000 meter persegi, kilang 2,000 meter persegi, hotel yang memiliki 21 bilik serta asrama empat tingkat," katanya.
Manakala, Norazam berkata, tahun lalu 500 premis diperiksa dan sebanyak 314 premis diberi notis berhubung arahan menyelenggara semula berkaitan aspek keselamatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!