KHM: Revington pacu DNA hoki negara
KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) menyifatkan kehadiran semula Paul Revington ke dalam arena hoki negara sebagai Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas dapat membantu badan induk hoki negara itu mempercepatkan pembentukan DNA hoki negara.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunannya, Profesor Datuk Dr S Shamala, bekas ketua jurulatih hoki negara dari Afrika Selatan itu akan melicinkan misi transformasi peringkat akar umbi Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
"Saya percaya pengalaman Revington akan membantu MHC dalam memperkenalkan DNA hoki Malaysia yang standard bermula daripada peringkat akar umbi.
"Bagi tujuan itu penekanan akan diberikan terhadap corak latihan dan permainan yang bertaraf Olimpik standard bermula pada peringkat usia bawah 12, 14 dan 16 tahun.
"Pembudayaan dan prestasi tinggi dalam latihan dan gaya permainan DNA hoki Malaysia ini juga tidak hanya akan melibatkan pemain tapi juga jurulatih dan pegawai.
"Jadi selepas ini penyelia, ketua jurulatih dan jurulatih hoki di pertingkat akar umbi akan mempunyai panduan khusus untuk diikuti dalam mempraktikkan latihan dan gaya permainan yang standard.
"Ini juga secara tidak langsung akan membolehkan NHDP setiap negeri kelak mempunyai kumpulan feeder masing-masing," katanya yang juga Timbalan Presiden MHC ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Revington semalam dilantik ke jawatan baharunya akan bekerja rapat dengan Shamala selain jurulatih Skuad Projek Khas KHM, Wallace Tan dan Nasihin Nubli.
Sementara itu, Revington menyifatkan pelantikannya sebagai peluang terbaik untuk menyelesaikan beberapa tugas yang belum selesai sebelum ini.
“Tugas yang saya pikul jelas sekali untuk memupuk perkara-perkara penting bagi seorang pemain hoki bermula daripada peringkat akar umbi. Antaranya termasuk menanam mentaliti sebagai seorang pemain yang turun ke padang bukan hanya bermain hoki tetapi untuk mencari kemenangan, mentaliti untuk menang.
“Apabila tiba masanya untuk mereka menyertai skuad kebangsaan, mereka adalah pemain yang telah mempunyai mentaliti tersebut dan tidak perlu lagi untuk diterapkan dengan perkara-perkara seperti itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!