Korban gaji bantu abang, lima anak saudara
PASIR PUTEH - Simpati melihat abangnya yang terlantar sejak empat tahun lalu, seorang adik di sini mengorbankan wang gajinya bagi memenuhi keperluan abang dan lima anak saudaranya.
Ahnad Che Ibrahim, 47, bukan sahaja berkorban wang gaji RM2,000 sebulan sebagai polis bantuan, malah turut menjaga abangnya bersama lima anak di Kampung Bukit Mak Lipah.
Menurutnya, abangnya, Ramli, 55, yang terlantar akibat angin ahmar memerlukan seseorang untuk menjaganya.
“Saya terpaksa berulang alik ke rumah abang saya, saya perlu menjaganya dan lima anaknya. Masa saya bertugas, anak-anak menjaganya,” katanya.
Ahnad berkata, selepas isteri abangnya menghilangkan diri, kehidupan anak-anak mereka iaitu Mohd Razak Ramli, 3, Nur Diana Azira, 7, Mohd Razman Azam, 12, Nur Shahira Nadia, 14, dan Mohd Raihan, 15, semakin tertekan.
Katanya, anak sulung abangnya, Mohd Raihan terpaksa berhenti sekolah untuk menjaga bapanya dan adik bongsu yang masih kecil.
“Saya juga perlukan wang tetapi saya tak sanggup melihat abang saya dan anak-anaknya menderita, saya bantu setakat yang termampu.
“Saya juga bantu sediakan kelengkapan sekolah anak-anak saudara saya ini kerana tiada siapa lagi yang boleh bantu mereka,” katanya.
Penderitaan keluarga itu turut menarik perhatian pengurusan Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Badol yang mengunjungi rumah mereka untuk menyampaikan sumbangan.
Guru Besarnya, Rokman Ismail berkata, kunjungan menerusi program Ziarah Cakna 2019 itu sebagai meringankan sedikit bebanan keluarga terbabit.
Menurutnya, dua anak Ramli di SK Pak Badol sentiasa mendapat bantuan daripada pihak sekolah.
“Kita sedia maklum nasib keluarga ini, kita akan terus bantu mereka dan penting juga kepada kita untuk pastikan anak-anaknya tidak tercicir pelajaran,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!