KPM benarkan pelajar asrama, KV, matrikulasi pulang bermalam
SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat ketetapan agar semua pelajar di sekolah asrama dan kolej vokasional KPM dibenarkan untuk pulang bermalam pada hujung minggu atau cuti umum mulai 9 Oktober ini.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Adzman Talib berkata, bagaimanapun kebenaran itu adalah tertakluk kepada kekerapan sekali sahaja dalam tempoh antara empat hingga enam minggu dan perlu mengikut jadual serta mematuhi peraturan ditetapkan sekolah atau kolej vokasional berkenaan.
Selain itu katanya, mulai 9 Oktober juga ibu bapa serta waris dibenarkan memasuki premis sekolah dan kolej vokasional pada hujung minggu dan cuti umum untuk bertemu murid dan tertakluk kepada SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan.
"Namun begitu, kebenaran ini tidak terpakai kepada pelajar yang ingin pulang bermalam ke rumah mereka yang berada dalam zon merah.
"Ibu bapa serta waris yang berada dalam zon merah juga tidak dibenarkan untuk bertemu murid di asrama sekolah atau di kolej vokasional KPM,"katanya dalam satu surat siaran di Facebook KPM hari ini.
Beliau berkata, oleh itu kebenaran pulang bermalam dan lawatan ibu bapa serta waris murid di asrama perlu mematuhi Garis Panduan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu yang dikemaskini dan boleh diakses menerusi portal rasmi KPM, www.moe.gov.my.
Dalam perkembangan sama, Adzman memaklumkan selaras dengan takwim pengajian Program Matrikulasi KPM bagi sesi 2020/2021, semua pelajar program itu dibenarkan untuk pulang bermalam pada cuti pertengahan semester I Sesi 2020/2021.
"KPM membuat ketetapan agar semua pelajar bagi kolej matrikulasi KPM di Kedah, Kelantan dan Johor, pelajar dibenarkan untuk pulang bermalam pada 9 hingga 17 Oktober 2020.
"Bagi kolej matrikulasi KPM dari negeri lain pelajar dibenarkan untuk pulang bermalam pada 10 hingga 18 Oktober 2020,"katanya.
Tambahnya, bermula 9 Oktober ibu bapa dan waris dibenarkan memasuki premis kolej matrikulasi pada hujung minggu dan cuti umum untuk bertemu pelajar dan tertakluk kepada SOP ditetapkan, manakala kebenaran ini tidak terpakai kepada pelajar yang ingin pulang bermalam ke rumah mereka yang berada dalam zon merah.
Menurutnya, ibu bapa serta waris yang berada dalam zon merah juga tidak dibenarkan untuk bertemu murid di kolej matrikulasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!